Bukan ‘gila kuasa’, utamakan muafakat, perkongsian kuasa - AMANAH
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan ia bukan sebuah parti yang “gila kuasa” sebaliknya sentiasa berpegang kepada prinsip muafakat dan perkongsian kuasa dalam kerjasama politik.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad (gambar) berkata dakwaan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman yang melabelkan AMANAH sebagai “gila kuasa” adalah tidak berasas dan bercanggah dengan rekod kerjasama parti itu sebelum ini.
"Bukti paling jelas adalah apabila AMANAH sanggup menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa dan Parlimen Muar kepada MUDA untuk membolehkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu.
"Yang gila kuasa adalah yang tidak sanggup berunding dan berbincang demi menjamin kemantapan gabungan dan itu bukanlah pihak AMANAH," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 26 Januari lalu Abdul Halim memberikan reaksi terhadap pendirian AMANAH berhubung isu pembahagian kerusi dan hala tuju kerjasama politik di Johor dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dengan menyifatkan parti itu mencerminkan sikap "gila kuasa".
Khalid menegaskan, pihak yang enggan berunding dan berbincang demi menjamin kemantapan gabungan sebenarnya lebih layak dilabel sebagai ‘gila kuasa’, dan perkara itu bukanlah amalan AMANAH.
Beliau berkata, AMANAH menghayati konsep Kerajaan Perpaduan yang menekankan gabungan dan perkongsian kuasa demi kepentingan negara, bukannya kepentingan parti semata-mata.
"Mementingkan parti sendiri akan mengaburkan pandangan dan pertimbangan. Itu bukan cara kami. Kongsi kuasa dalam bergabung adalah pilihan yang jelas lebih baik," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya mengutamakan rundingan dan perbincangan bagi memastikan kesepakatan serta kemantapan kerjasama antara parti-parti komponen.
"Semua pihak ada kekuatan dan semua pihak harus dihargai," katanya.
Beliau berkata, sebagai orang Melayu dan Islam, prinsip muafakat serta musyawarah perlu dijadikan asas dalam setiap keputusan politik.
"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Dan dalam Islam, Allah berfirman supaya kita bermesyuarat dalam urusan pemerintahan dan apabila telah berazam, maka bertawakal kepada-Nya. Inilah prinsip yang harus menjadi pegangan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.





