top of page

Cadangan pecat Hamzah dari 3 negeri: Krisis kepimpinan Bersatu serius, kronik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini membabitkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, memberi isyarat jelas bahawa parti itu sedang berdepan kemelut kepimpinan yang sangat serius dan hampir tidak terkawal.


Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf Amram berkata, perkembangan terbaharu yang menyaksikan tiga Badan Perhubungan Negeri Bersatu iaitu Negeri Sembilan, Johor dan Perak secara terbuka mendesak pemecatan Hamzah sebagai Timbalan Presiden parti, merupakan satu episod yang belum pernah terjadi, apabila Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat diusul dipecat oleh pemimpin parti sendiri.


"Hakikat bahawa seorang Ketua Pembangkang kini dipersoalkan kesetiaan dan kredibilitinya oleh (pemimpin) akar umbi parti sendiri membuktikan bahawa Bersatu sedang berdepan krisis kepimpinan yang sangat serius, kronik dan hampir tidak terkawal.


"Ini bukan lagi soal perbezaan pandangan atau amalan demokrasi dalaman parti, sebaliknya, merupakan petanda jelas kepimpinan tertinggi Bersatu gagal menyatukan parti, gagal mengurus konflik dalaman, lemah dalam kepimpinan serta gagal membina kepercayaan sesama sendiri.


"Jika rakan seperjuangan (dalam parti) sendiri tidak mampu diyakinkan, bagaimana mungkin rakyat mahu menyerahkan mandat mentadbir negara kepada parti sebegini?," soalnya ketika dihubungi Suara Keadilan mengulas krisis kepimpinan yang melanda Bersatu.


Abshar Nurasyraf Amram
Abshar Nurasyraf Amram

Abshar mendakwa, krisis tersebut telah menyingkap realiti sebenar di sebalik slogan yang kononnya memperjuangkan kestabilan dan kepimpinan berprinsip orang Melayu.


Lebih membimbangkan katanya, krisis berkenaan membuktikan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) telah gagal menggalas amanah sebagai parti yang kononnya memperjuangkan nasib Melayu, Bumiputera dan rakyat terbanyak.


"Sepanjang penggal ini, rakyat menyaksikan bagaimana pimpinan Bersatu lebih sibuk bertelagah sesama sendiri, lebih fokus merangka strategi menjatuhkan rakan sendiri, serta lebih ghairah berbicara soal jawatan, bukannya mencari penyelesaian kepada masalah sebenar rakyat di bawah.


"Dalam keadaan rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan yang terhad, isu perumahan serta ketidaktentuan ekonomi, Bersatu–PN memilih untuk tenggelam dalam konflik dalaman yang tidak berkesudahan.


"Saya berpandangan, rakyat Malaysia, khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar, perlu menilai secara matang dan jujur rekod serta keupayaan sebenar Bersatu–PN.


"Ia terbukti merupakan sebuah parti yang gagal mengurus rumah tangganya sendiri, gagal mengekalkan disiplin kepimpinan serta gagal menzahirkan hala tuju politik yang jelas. Natijahnya, mereka tidak layak untuk ditampilkan sebagai alternatif kerajaan," ujar beliau yang juga Ketua AMK Bukit Mertajam.


Hari ini Astro Awani melaporkan, Hamzah terus menerima tekanan apabila perhubungan parti itu di tiga negeri mendesak supaya beliau dipecat.


Memorandum dimulakan oleh tujuh daripada sembilan pemimpin bahagian Bersatu Negeri Sembilan mendesak Ahli Parlimen Larut itu dipecat.


Selain itu, pemimpin bahagian Bersatu di Perak juga menghantar memorandum kepada Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin.


Memorandum negeri Perak ditandatangani oleh Ketua-Ketua Bahagian Tambun, Batu Gajah, Ipoh Barat, Bagan Datuk, Tanjong Malim, Taiping, Lenggong, Lumut, Parit Buntar, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Gerik, Beruas dan Parit.


Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan di Facebook pula berkata, pihaknya mendesak supaya Lembaga Disiplin BERSATU segera mengambil tindakan tegas terhadap Hamzah.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page