MCPF KL anjur sebanyak mungkin kempen cegah jenayah, Wilayah Persekutuan selamat
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Meskipun masih beroperasi pada tahap paling asas dengan kelengkapan terhad, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MCPF KL) terus membuktikan komitmen tinggi apabila berjaya melaksanakan 84 program pencegahan jenayah sepanjang 2025.
Pengerusi MCPF KL, Datuk Azman Abidin berkata, pencapaian tersebut sekaligus menyumbang kepada hampir 20% daripada keseluruhan 430 program MCPF di seluruh negara.
"Pejabat yang kita saksikan hari ini adalah sebuah permulaan yang amat kami syukuri. Namun, harus kami akui bahawa pengoperasian kami buat masa ini masih berada pada tahap yang paling asas.
"Dengan kelengkapan yang sangat terhad, kami amat memerlukan sokongan daripada segi infrastruktur digital, kelengkapan latihan dan prasarana pejabat yang lebih kondusif.
"Sambil kami terus mengoptimumkan sumber sedia ada, kami amat mengalu-alukan sekiranya pihak Yang Berhormat Datuk Seri (Saifuddin Nasution) dapat mempertimbangkan satu peruntukan khas.
"Suntikan dana ini akan kami terjemahkan kepada keberhasilan kerja yang lebih sistematik, selaras dengan kepercayaan yang diberikan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Pejabat MCPF KL dan Pelancaran Pusat Strategik Pencegahan Jenayah Komuniti MCPF KL Tahun 2026, di Cheras, hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengerusi MCPF, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan mantan Pengerusi MCPF, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Azman lagi, fokus utama pihaknya kekal tertumpu kepada pelaksanaan program berimpak tinggi melibatkan sekolah-sekolah, sektor korporat dan komuniti akar umbi bagi memperkukuh kesedaran dan pencegahan jenayah secara menyeluruh.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri (PM) berkata, bagi menggerakkan inisiatif berkenaan, pihaknya mempunyai barisan penceramah yang berkaliber seperti Saiful Hamiruzzaman, Ridzman dan Emran.
"Keberkesanan gerak kerja kami turut didorong oleh keaktifan enam Jawatankuasa Perhubungan MCPF Daerah, iaitu Cheras, Dang Wangi, Wangsa Maju, Brickfields, Sentul dan Putrajaya.
"Pusat strategik ini adalah platform utama kita untuk memperkasa modal insan, khususnya dalam melahirkan ahli MCPF KL yang mampu menggerakkan komuniti.
"Kita sedang membina legasi pelapis yang bakal memastikan suara advokasi MCPF KL terus bergema dengan lebih profesional," ujarnya lagi.
Azman menambah, berbekalkan komitmen utuh daripada seluruh kepimpinan di peringkat negeri dan daerah, beliau percaya misi untuk mewujudkan Wilayah Persekutuan yang selamat akan tercapai melalui sinergi komuniti yang aktif dan inklusif.





