Kerajaan sasar 5,000 jurutera latihan Arm menjelang 2027
- Suara Keadilan

- 19 hours ago
- 2 min read

Bakat jurutera tempatan memiliki persijilan dalam teknologi reka bentuk cip menerusi program kerjasama dengan Arm Limited berpeluang menikmati gaji permulaan kompetitif sehingga RM5,500 sebulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata kadar tersebut adalah lebih tinggi berbanding purata gaji jurutera biasa berikutan bidang reka bentuk cip merupakan industri berimpak tinggi yang memerlukan kemahiran khusus.
Anggaran itu jelasnya berdasarkan peserta yang mengikuti program Arm secara bersepadu dengan kursus tambahan di bawah Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) menerusi Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec).
"Bagi mereka yang mengikuti program Arm dan kursus tambahan di bawah SIDEC ada yang menerima gaji permulaan sekitar RM5,000 hingga RM5,500.
"Lebih memberangsangkan, selepas memperoleh pengalaman dua hingga tiga tahun dalam industri, gaji mereka berpotensi meningkat sehingga RM8,000 hingga RM9,000 sebulan," katanya dipetik laporan media.
Akmal Nasrullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited dalam Industri Semikonduktor di Putrajaya pada Jumaat.
Mengulas lanjut beliau berkata, Arm Limited menawarkan kursus dalam talian selama 200 jam secara dalam talian, selain pendedahan asas kepada sistem reka bentuk cip sebelum peserta diserap ke dalam syarikat teknologi berkaitan.
Inisiatif tersebut jelasnya bertujuan membangunkan kemahiran kritikal dalam kalangan graduan dan tenaga kerja sedia ada yang ingin meningkatkan kemahiran serta mengkhusus dalam bidang reka bentuk cip bagi memenuhi permintaan pasaran global.
Akmal Nasrullah sementara itu menegaskan, Kerajaan MADANI menyasarkan penghasilan produk semikonduktor atau Harta Intelek (IP) pertama menerusi kerjasama Malaysia-Arm menjelang 2030.
Kementerian Ekonomi menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 bakat jurutera tempatan mengikuti program Arm On-Demand Training menjelang akhir 2027 sebagai sebahagian usaha mencapai sasaran 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.




Comments