Kerajaan rombak, perketat AP elak lambakan sayur import
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan bakal merombak dan memperketat kawal selia Permit Import (AP) sayur untuk mengelak lambakan bekalan import sekaligus melindungi petani tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, kekurangan kawal selia sebelum ini membolehkan pihak tertentu menguasai rantaian bekalan hingga mempengaruhi harga pasaran serta membuka ruang kepada kawalan harga yang tidak sihat.
Justeru kementeriannya akan memastikan import hanya dibuat mengikut keperluan sebenar pasaran, selain menghapuskan amalan monopoli apabila sebahagian pengimport turut bertindak sebagai pengedar, sekali gus menyebabkan ketidakseimbangan rantaian pasaran.
"Situasi lambakan di beberapa negeri menunjukkan keperluan mendesak untuk menstruktur semula sistem import agar tidak menjejaskan petani tempatan yang bergantung kepada kestabilan harga dan permintaan.
"FAMA telah melaksanakan intervensi dan kita kini memperkemaskan semula proses AP import sayur kerana terdapat pengimport yang turut berperanan sebagai pengedar.
"Sepatutnya, pengimport dan pengedar perlu diasingkan. Kita tidak mahu wujud unsur monopoli. Langkah pembetulan ini sedang diambil segera oleh KPKM," katanya dipetik selepas lawatan ke Projek Tanaman Padi Tanjung Purun, di Lundu, Sarawak semalam.
Mohamad Sabu sementara itu berkata, Kerajaan jelasnya turut mengaktifkan pemantauan harian terhadap permintaan dan penawaran sayur di seluruh negara bagi mengelakkan situasi ekstrem berulang.
Selain intervensi jangka pendek, kerajaan juga memberi tumpuan kepada penstrukturan semula mekanisme AP serta pengasingan jelas antara peranan pengimport dan pengedar sebagai strategi jangka panjang bagi memulihkan kestabilan rantaian bekalan makanan negara.
"Langkah ini bukan sahaja mengurangkan risiko lambakan, malah mengukuhkan daya saing petani tempatan dalam pasaran yang lebih teratur dan adil," tambahnya.
Menurut Mohamad Sabu, ada petani tempatan sebelum ini dilapor terpaksa membuang hasil tani kerana tidak dapat dipasarkan susulan lambakan bekalan.




Comments