top of page

'Jika negara punya 100% sumber minyak, harga masih terikat pasaran global'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Dakwaan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim, berhubung industri minyak negara yang didakwa boleh memurahkan harga minyak di pasaran sekiranya menggunakan 'hasil petroleum sendiri' disifatkan sebagai mengelirukan.


Dalam satu kenyataan media, Daie Madani menyifatkan, amat “ironis dan menyedihkan” apabila seorang pemimpin dari negeri yang dikenali sebagai pengeluar minyak gagal memahami struktur sebenar industri tersebut.


"Adalah amat mengejutkan apabila seorang Exco dari negeri minyak boleh terlepas pandang fakta asas tentang bagaimana industri minyak Malaysia berfungsi," kata kenyataan Daie Madani.


Menurut kenyataan itu, walaupun Malaysia mempunyai petroleum sendiri termasuk dari Terengganu, realitinya negara tidak menggunakan sepenuhnya minyak mentah domestik untuk keperluan penapisan tempatan.


Minyak mentah Malaysia, Tapis Blend, adalah minyak premium berkualiti dunia dengan kandungan sulfur hanya 0.03–0.04% — antara yang terendah di dunia. Ia diniagakan pada harga premium berbanding Brent Crude, menjadikannya antara minyak mentah paling mahal di pasaran global


Sebaliknya, kata Daie Madani, Malaysia mengimport minyak mentah lebih berat dan murah terutamanya dari rantau Teluk Parsi, kerana ia lebih sesuai dengan konfigurasi kilang penapisan tempatan.


"Dalam erti kata lain, Malaysia menjual minyak berkualiti tinggi dan membeli minyak lebih murah yang sepadan dengan reka bentuk kilangnya."


Hampir 70% import minyak mentah Malaysia berasal dari rantau Teluk — Arab Saudi, UAE dan Oman — dan kira-kira separuh daripada jumlah bekalan minyak Malaysia melalui Selat Hormuz dan terdedah kepada risiko geopolitik global.


Dalam masa sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengesahkan bahawa syarikat minyak nasional, Petronas, kini berada dalam kedudukan sebagai pengimport bersih minyak mentah bagi memenuhi keperluan domestik.


Menurut data yang dikongsikan, pengeluaran minyak mentah Malaysia dianggarkan sekitar 350,000 tong sehari, jauh lebih rendah berbanding keperluan penapisan yang mencecah kira-kira 740,000 tong sehari.


"Pada 2025, Malaysia kekal sebagai pengimport bersih minyak mentah bernilai negatif 1.7% daripada KDNK sejak 2022, walaupun ia adalah pengeksport bersih LNG (gas)," katanya.


Kenyataan itu turut menolak hujah bahawa harga bahan api boleh ditentukan semata-mata berdasarkan sumber domestik, dengan menegaskan bahawa harga minyak global dipengaruhi penanda aras antarabangsa seperti Brent Crude.


"Walaupun kita andaikan Malaysia boleh 100% memenuhi keperluan minyak mentahnya sendiri, harga tetap tidak boleh dikawal secara bebas dari pasaran global. Minyak adalah komoditi global. Apabila harga Brent Crude melonjak, nilai Tapis turut naik dalam denominasi yang sama," jelasnya.


Daie Madani membuat perbandingan mudah, andainya harga durian Musang King Terengganu naik kepada RM200 sekilo, pekebun durian di Dungun tentunya tidak akan menjual kepada jiran mereka dengan harga RM5 semata-mata kerana ia “ditanam di sini.”


Dalam pada itu, kerajaan dilaporkan terus menanggung beban subsidi bahan api yang tinggi, termasuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95, dengan perbelanjaan mencecah lebih RM3 bilion sebulan.


Mengulas lanjut, kenyataan itu menegaskan bahawa kritikan terhadap kerajaan adalah wajar dalam sistem demokrasi, namun ia perlu berasaskan fakta yang tepat.


"Kritikan kepada kerajaan adalah sihat dan perlu dalam demokrasi. Tetapi kritikan yang dibina atas salah faham fakta asas hanya membuang masa rakyat dan mencemarkan kredibiliti pembangkang itu sendiri," katanya.


Semalam Dr Azman membela kenyataan Presiden pas sebelum ini bahawa kenaikan harga minyak di negara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai produk minyak sendiri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page