Adam Adli hadir ke sekolah balas ucapan murid
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Dalam era komunikasi digital yang serba pantas, satu kisah penuh makna di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Palembang membuktikan bahawa sentuhan peribadi masih mampu meninggalkan kesan mendalam.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim, hadir sendiri ke sekolah tersebut selepas menerima kad ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada 12 murid yang terdiri daripada pengawas sekolah tersebut.
Lebih istimewa, beliau bukan sekadar hadir meraikan sambutan Aidilfitri bersama warga sekolah, malah membalas ucapan kad raya dengan sekeping kad tulisan tangannya sendiri sebagai tanda penghargaan terhadap keikhlasan para pelajar.
Antara pelajar Tahun 6 yang menerima sendiri balasan tersebut ialah Hasya, Dahlia dan Adra, yang sebelum ini mengutus kad dengan mesej penuh spontan dan menyentuh hati.
"Jikalau ada masa lapang, datanglah ke sekolah kami. Kalau ada rezeki lebih, hulurkanlah sedikit duit raya untuk kami sekumpulan. Sudah baca harap balas," menurut petikan dalam kad berkenaan.
Kehadiran Adam Adli disambut oleh Guru Besar sekolah, Nor Hamizah Daud, dalam suasana meriah yang melibatkan lebih 250 pelajar serta seluruh warga sekolah.
Menurut kenyataan itu lagi, kisah berkenaan menjadi contoh bagaimana amalan tradisi seperti menghantar kad raya masih relevan sebagai medium membina hubungan dan menyemai nilai adab dalam kalangan generasi muda.
"Dalam dunia yang semakin dikuasai medium digital, budaya menghantar kad raya mungkin kelihatan asing bagi generasi hari ini. Namun kisah ini memperlihatkan bagaimana amalan sederhana seperti itu masih mampu menjadi jambatan ukhwah, menyemai adab dan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat, khususnya anak anak sekolah," kata Adam dalam catatan di media sosial.




Comments