Kerajaan rancang MADANI Mart, bantu rakyat beli barang harga murah
- Azuan Ab Rahman

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus komited dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, memaklumkan kerajaan kini merancang menubuhkan MADANI Mart sebagai salah satu langkah strategik membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
"MADANI Mart merupakan inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan rangkaian kedai runcit berasaskan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.
"Ia bertujuan menyediakan barangan keperluan berkualiti pada harga yang lebih adil dan berpatutan dengan fokus utama menyokong kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama Yayasan MADANI bagi membincangkan rancangan penubuhan MADANI Mart berkenaan.
Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh.
Untuk rekod, Kerajaan MADANI sudah melaksana pelbagai inisiatif bagi meringankan beban kos hidup ditanggung rakyat.
Antaranya menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi membantu golongan berpendapatan rendah, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam bentuk bantuan barangan keperluan asas, serta Payung Rahmah yang merangkumi program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan pada harga lebih rendah.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan bantuan subsidi bersasar seperti program BUDI MADANI bagi sektor tertentu termasuk diesel, di samping usaha memperkukuh kawalan harga dan bekalan barangan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).




Comments