Kerajaan pulihkan FELDA, bayar hutang, kehidupan generasi kedua ditambahbaik
- Suara Keadilan

- 3h
- 2 min read

Pengumuman Perdana Menteri berhubung komitmen berterusan Kerajaan MADANI terhadap pemulihan FELDA merupakan bukti iltizam politik Kerajaan Madani untuk memulihkan institusi itu secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran (gambar) berkata, ketika Kerajaan mengambil alih pentadbiran negara, FELDA masih berdepan pelbagai cabaran kewangan akibat beban hutang yang besar, kelemahan tadbir urus serta keputusan lalu yang menjejaskan kedudukan kewangannya.
"Kerajaan hari ini tidak memilih jalan mudah dengan membiarkan masalah tersebut berlarutan. Sebaliknya, Kerajaan MADANI mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, menerusi Pelan Pemulihan FELDA, kerajaan memperuntukkan komitmen sebanyak RM990 juta setiap tahun bermula 2023 bagi memenuhi komitmen kewangan FELDA.
Katanya, sehingga kini hampir RM3.96 bilion telah disalurkan, manakala keseluruhan komitmen kerajaan dijangka mencecah RM9.9 bilion dalam tempoh 10 tahun.
"Ini bermakna hampir RM1 bilion setiap tahun dibayar oleh kerajaan bagi memastikan FELDA terus stabil, kebajikan peneroka terpelihara serta institusi yang telah membangunkan luar bandar sejak 1956 ini terus mampan," katanya.
Yuneswaran berkata, walaupun dana tersebut boleh digunakan untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan awam lain, kerajaan memilih untuk menanggung komitmen itu kerana tidak mahu peneroka menjadi mangsa kepada kelemahan pengurusan terdahulu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pemulihan FELDA tidak seharusnya terhenti kepada penyelesaian isu hutang semata-mata, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada masa depan generasi kedua dan ketiga peneroka.
"Fasa seterusnya mestilah memberi tumpuan kepada Generasi Kedua dan Generasi Ketiga FELDA," katanya.
Beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi anak-anak FELDA ketika ini ialah kekurangan projek perumahan mampu milik, kesukaran memiliki tanah sendiri, peluang pekerjaan berkualiti yang terhad serta keperluan latihan dalam bidang TVET, keusahawanan, teknologi pertanian moden, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Sebagai Ahli Parlimen Segamat, katanya, isu itu amat dekat dengan masyarakat setempat memandangkan kawasan parlimennya mempunyai beberapa rancangan FELDA yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi daerah.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempercepat pembangunan perumahan Generasi Kedua FELDA, menambah baik dasar pemilikan lot kediaman, menarik lebih banyak pelaburan dan industri hiliran ke kawasan FELDA, memperluaskan latihan TVET serta meningkatkan kemudahan infrastruktur dan capaian internet.
"Kerajaan MADANI telah memulakan langkah yang berani dengan mengambil tanggungjawab menyelesaikan beban kewangan FELDA. Kini, tumpuan seterusnya perlu diberikan kepada masa depan generasi peneroka agar mereka turut menikmati kemajuan yang sama," katanya.
Beliau turut menegaskan akan terus membawa suara warga FELDA supaya pembangunan tanah rancangan itu kekal menjadi agenda nasional demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.




Comments