Kerajaan perlu tegas tangani pelarian Rohingya, jangan terlalu berlembut
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Pendekatan lebih tegas dalam menangani isu pelarian Rohingya dengan mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara harus dilakukan pada ketika ini.
Mantan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar mendakwa, tindakan yang dilihat terlalu berlembut terhadap pelarian Rohingya pada waktu ini telah menyebabkan Malaysia seolah olah menjadi antara destinasi pilihan utama pelarian.
"Sikap berlembut dan seolah-olah memberi harapan kepada pelarian, menjadi sebab kenapa Malaysia menjadi destinasi pilihan mereka ke sini selain faktor geografi dan agama. Sikap ini perlu diubah dan kerajaan perlu bertegas seperti Singapura dan Thailand dalam menangani kes pelarian ini," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, sebarang ruang yang memberi isyarat Malaysia terbuka menerima pelarian secara berterusan berisiko memberi kesan terhadap masa depan negara.
"Keutamaan keselamatan dan keamanan buat warga Malaysia lebih utama tanpa kita mengabaikan soal kemanusiaan," katanya.

Mohd Fakhrulrazi turut menggesa kerajaan menyediakan pelan penyelesaian jangka pendek dan sederhana bagi menangani isu berkenaan, di samping meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Myanmar yang disifatkannya sebagai punca utama krisis tersebut.
Beliau berpandangan Kerajaan MADANI kini berdepan isu yang telah wujud sejak kerajaan terdahulu sebelum mengambil alih pentadbiran dan perlu bertindak secara berhati-hati bagi mengimbangi keselamatan negara serta tuntutan kemanusiaan.
Bagaimanapun kata beliau, pendiriannya bukan didorong oleh sikap tidak bertolak ansur terhadap etnik Rohingya, sebaliknya berpandangan Malaysia belum mempunyai kemampuan untuk menguruskan kemasukan pelarian dalam jumlah yang besar.
"Saya tidak bermaksud membenci bangsa Rohingya tetapi buat ketika ini amat berisiko kita menerima mereka dalam keadaan kita sendiri tidak bersedia dan tidak mempunyai kemampuan menguruskan pelarian ini yang akhirnya memberi kesan dan masalah kepada kita sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fakhrulrazi turut menggesa tindakan tegas perlu diambil terhadap sindiket penyeludupan manusia yang membawa masuk pelarian ke negara ini, kerana menurutnya mereka merupakan punca sebenar kepada masalah tersebut.
Beliau turut berharap satu usul tergempar berhubung isu pelarian Rohingya dibawa pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung.
"Tolak ketepi perbezaan politik kerana ini isu besar yang perlu diselesaikan bersama. Mana-mana parti yang menjadi kerajaan pasti akan berdepan dengan masalah yang sama. Soal masa depan negara lebih utama," katanya lagi.




Masalah pelarian Rohingya ini bukan perkara baharu. Dah lama wujud sebelum kerajaan sekarang pun. Tapi pelarian semakin bertambah sekarang. Bagaimana negara menangani pelarian Vietnam sebelum ini, boleh diguna pakai sekarang. Tempatkan mereka semua di satu tempat dan biar UNCHR uruskan. . Jika tidak ditangani isu ini sekarang akan menimbulkan masalah kepada negara di masa akan datang..