Kerajaan perlu bijak tangani kebajikan rakyat hadapi krisis ekonomi dunia
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan mengambil pendekatan yang bijak, berhemah dan berpandangan jauh dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, ketidaktentuan ekonomi global ketika ini dipengaruhi pelbagai faktor termasuk konflik geopolitik, ketegangan perdagangan dan tekanan inflasi yang memberi kesan kepada banyak negara.
Menurut beliau, keputusan kerajaan untuk tidak mengadakan sambutan Aidilfitri terbuka oleh agensi kerajaan boleh dilihat sebagai langkah berhemat dalam mengurus kewangan negara.
"Pendekatan ini menunjukkan kepekaan terhadap realiti yang dihadapi rakyat serta keutamaan untuk mengurus sumber negara secara lebih berdisiplin," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penjimatan tersebut perlu disertai dengan langkah yang lebih tersusun bagi memastikan rakyat benar-benar merasai manfaatnya.
"Penjimatan kos acara rasmi kerajaan harus diterjemahkan kepada pengukuhan bantuan kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, pekerja sektor tidak formal dan keluarga yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
"Bantuan tunai, subsidi bersasar serta sokongan kepada golongan rentan perlu diurus secara cekap, telus dan sampai kepada penerima sebenar tanpa kerenah birokrasi yang melambatkan," katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu memastikan bantuan yang diberikan tidak bersifat sementara semata-mata, sebaliknya mampu membantu rakyat membina ketahanan ekonomi dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, MAPIM menegaskan isu kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat dan memerlukan tindakan konkrit daripada kerajaan.
Menurut Azmi, kerajaan perlu meningkatkan pengawasan terhadap rantaian bekalan bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak tertentu, di samping memperkukuh usaha menstabilkan harga makanan asas melalui kerjasama dengan pengeluar tempatan, koperasi serta rangkaian pengedaran yang lebih efisien.
Beliau turut mencadangkan agar kebergantungan negara terhadap import makanan dikurangkan melalui pelaburan serius dalam sektor pertanian dan agro makanan.
"Kerajaan juga perlu memastikan bahawa bantuan yang diberikan tidak bersifat sementara semata mata, tetapi mampu membantu rakyat membina ketahanan ekonomi dalam jangka panjang," katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan memperluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui pembangunan teknologi, inovasi dan ekonomi digital, serta memastikan dasar ekonomi negara lebih inklusif agar manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Azmi berkata, kerajaan juga perlu memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi, termasuk menyediakan skim perlindungan pendapatan bagi pekerja tidak tetap, peluasan perlindungan insurans sosial serta program latihan semula bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.
"Dalam tempoh krisis, integriti pengurusan kewangan negara amat penting. Kerajaan perlu memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara berhemah dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
"Ketirisan, pembaziran dan pengurusan yang tidak cekap harus dibanteras dengan tegas," katanya.
Beliau menambah bahawa krisis ekonomi global bukan sahaja cabaran, malah peluang untuk menilai semula pendekatan pembangunan negara agar lebih adil dan mampan demi kesejahteraan rakyat pada masa depan.
"Kerajaan perlu terus bertindak dengan hikmah, keberanian dan kepekaan sosial bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
"Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada keupayaannya menjaga kebajikan rakyat dan membina ekonomi yang adil serta mampan untuk masa depan," katanya lagi.




Comments