Tiada sambutan Aidilfitri: Langkah berhemah di tengah ketidaktentuan global
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 2 min read

Keputusan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kementerian dan agensi kerajaan mencerminkan kepimpinan yang rasional dan berpandangan jauh demi memastikan setiap perbelanjaan awam diurus secara berhemah, kata David Cheong Kian Young.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai pendekatan pentadbiran yang menekankan disiplin kewangan, selain memastikan setiap perbelanjaan kerajaan dilakukan secara berhemah dan berlandaskan keutamaan rakyat.
Beliau berkata, sambutan rasmi melibatkan kos penganjuran logistik dan penyediaan makanan serta kos tersebut boleh dikurangkan dan disalurkan kepada keperluan rakyat.
Ujarnya, langkah berkenaan memberi cerminan bahawa Kerajaan MADANI serius menjaga disiplin kewangan.

"Saya percaya keputusan ini memberi kebaikan kepada semua pihak. Tradisi sambutan boleh diteruskan secara sederhana. Semangat Aidilfitri tetap hidup melalui jalinan silaturahim bersama masyarakat.
"Saya juga melihat isu ini lebih besar daripada penjimatan wang. Ia juga berkaitan pembaziran masa bekerja dengan perkara yang tidak perlu.
"Sambutan perayaan tidak perlu diadakan pada waktu bekerja. Sekiranya ada kakitangan kerajaan menjemput untuk menghadiri sambutan di rumah mereka kita boleh pergi bersama.
"Langkah ini mengekalkan semangat Aidilfitri dan jalinan silaturahim tanpa membazir masa atau wang rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
David menambah, dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah, kerajaan perlu mengurus dasar secara berdisiplin dan tegas mankala setiap keputusan mesti berpandukan keperluan rakyat.
Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Selangor itu menyifatkan, langkah penjimatan seperti itu merupakan bukti kerajaan serius memperbaiki tadbir urus negara.
"Secara ringkas keputusan ini wajar disokong. Penjimatan boleh dimulakan melalui langkah sederhana seperti mengurangkan perbelanjaan sambutan perayaan di kementerian dan agensi Kerajaan dan diikuti dengan penjimatan yang lain.
"Usaha penjimatan boleh diperluaskan kepada langkah yang lebih memberi impak kepada pentadbiran negara termasuk rasionalisasi agensi kerajaan yang mempunyai fungsi bertindih.
"Pendekatan ini membolehkan penggunaan sumber menjadi lebih cekap serta mengurangkan kos operasi dalam jangka panjang.
"Keputusan yang bijak ini meningkatkan keberkesanan pentadbiran negara, memberi keyakinan bahawa setiap wang dan masa rakyat digunakan dengan tepat dan patut dijadikan contoh dalam pengurusan kerajaan yang berdisiplin serta bertanggungjawab," ujarnya lagi.




Comments