top of page

Kerajaan perkukuh sektor biodiesel, elak kebergantungan bahan api import

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 15
  • 2 min read

Kerajaan MADANI melaksana beberapa langkah dalam usahanya menangani kesan konflik tenaga susulan konflik di Asia Barat.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) memaklumkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat semalam bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, bermula dengan adunan B12 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import dan pasaran luar.


Langkah jangka sederhana itu bertujuan mempercepat penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu sekali gus memastikan sumbernya lebih terjamin secara domestik.


"MTEN pada dasarnya bersetuju biodiesel adalah satu daripada sumber biobahan api alternatif dan pilihan paling praktikal dan paling sedia untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat


"Usaha itu bukan hanya bermatlamat menstabilkan bekalan dan harga, tetapi membina daya tahan jangka panjang memandangkan konflik Asia Barat yang membawa kepada krisis tenaga global ketika ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan untuk kembali pulih.


"Kerajaan tidak perlu menunggu ekosistem tenaga baharu dibangunkan sepenuhnya untuk mula bertindak," katanya pada taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru sementara itu menegaskan, keputusan untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan adunan B12 tidak membabitkan sebarang kos tambahan dan akan menggunakan infrastruktur pengadunan biodiesel sedia ada.


Bagi memastikan pelaksanaannya lancar dan teratur, kerajaan akan mengadakan libat urus bersama pihak Oil Industry Technical Committee (OITC).


"Pada 2025, pengeluaran biodiesel Malaysia berjumlah 975,207 tan metrik, kapasiti pengeluaran mencecah 2.36 juta tan metrik. Ini sekaligus menunjukkan bahawa asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran telah pun tersedia dan hanya perlu diperkukuh secara tersusun untuk memberi manfaat yang lebih

"Penggunaan biodiesel akan dapat memanjangkan lagi ketersediaan bekalan diesel negara, disokong dengan pelan mitigasi biobahan api, naik taraf depoh B20 dan B30 secara berfasa di bawah RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) serta persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor pengangkutan komersial dan awam," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page