Kerajaan perkukuh komitmen terhadap pengurusan hutan secara lestari
- Azuan Ab Rahman

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen terhadap pengurusan hutan lestari apabila menetapkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebanyak 890,000 hektar bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), berbanding 1,165,300 hektar dalam RMK12.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pengurangan itu langkah strategik bagi mengimbangi keperluan ekonomi dan pemeliharaan hutan, di samping memperkukuh amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).
"Pada 2025, sektor perhutanan dan pertanian telah mencatatkan sumbangan berjumlah RM6.006 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
"Ini sekali gus menunjukkan impak ekonomi positif melalui aktiviti pengusahasilan hutan secara mampan yang merangkumi aktiviti pengeluaran hasil hutan dan pembalakan," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa semalam.
Sementara itu tambahnya, kementerian melalui agensi perhutanan di peringkat persekutuan dan negeri juga sedang giat memperkasa ekopelancongan berasaskan hutan sebagai alternatif kepada aktiviti pembalakan konvensional.
Arthur juga memaklumkan, Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-81 lalu telah bersetuju supaya kerajaan negeri memberi keutamaan kepada penggunaan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menambah baik sistem permohonan dan bayaran permit memasuki HSK secara dalam talian.
FRIM turut memainkan peranan meningkatkan kesedaran komuniti luar bandar melalui latihan dan bimbingan teknikal, sekali gus membantu mereka mengurus aktiviti ekopelancongan secara lebih sistematik, berdaya saing dan mampan.
"Hutan yang kaya dengan kepelbagaian biologi bukan sahaja memberikan manfaat kepada alam sekitar, malah menjadi warisan berharga yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
"Justeru, komitmen berterusan dalam memelihara dan memulihara aset ini amat penting agar kelestariannya dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia, kini dan selamanya," katanya.




Comments