Pembangkang paling depan cetus sentimen, paling bisu isu rasuah - PM


Perdana Menteri membidas keras sikap kepimpinan pembangkang yang 'bisu seribu bahasa' setiap kali isu berkaitan integriti, rasuah, dan kepentingan rakyat dibangkitkan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun mereka mengambil pendekatan berbeza dan muncul paling ke depan dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dan menunggang isu-isu agama.
"Apabila rasuah dan penyelewengan yang menjejaskan hidup rakyat dibangkitkan, pembangkang memilih untuk membisu.
"Namun dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dan menunggang agama, merekalah yang paling ke hadapan," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Blok pembangkang baru-baru ini dikritik setelah bertindak keluar dewan semasa Sidang Khas Dewan Rakyat membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji.
Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan retorik pembangkang yang selama ini mendakwa paling konsisten memperjuangkan kepentingan umat Islam
Lebih mengecewakan, usaha pembersihan dan reformasi institusi yang diterajui kerajaan melibatkan Felda dan MARA, termasuk tindakan undang-undang terhadap penyelewengan kuasa, seolah-olah dipandang sepi tanpa sokongan jelas mereka.
"Sikap berdiam diri pembangkang terhadap penyelewengan berbilion ringgit wang negara akan menyebabkan masyarakat lama-kelamaan terbiasa bertolak ansur dengan kejahatan.
"Selagi saya memikul amanah ini, saya tidak akan berkompromi dengan rasuah kerana pelaku rasuah tempatnya dalam penjara," tegas Anwar.




Comments