Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan APM di Sarawak - Mustapha
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan melihat kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan, aset serta jaringan komuniti di seluruh Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di negeri itu sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana akan diberi perhatian.
"Saya agak tertarik dengan pendekatan APM Sarawak ini. Operasi APM Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada usaha menyelamat, tetapi turut menekankan nilai kemanusiaan dalam setiap misi.
"Mereka yakin bahawa setiap nyawa yang diselamatkan mungkin menjadi pemimpin, jurutera, peguam atau insan yang akan menyumbang kepada negara pada masa depan," katanya dipetik.
Mustapha yang juga Pesuruhjaya Kehormat APM berkata begitu ketika mengadakan lawatan ke Pusat Operasi agensi itu di Miri pada Khamis.
Mustapha turut menegaskan keperluan untuk menaik taraf pusat operasi APM termasuk di kawasan berisiko tinggi seperti Sibu serta memperkukuh kemudahan sedia ada bagi memastikan tindak balas kecemasan lebih cekap.
Dalam masa sama, beliau mahu program kesedaran komuniti di kawasan pedalaman dan berisiko bencana diperluas supaya penduduk dapat memberi bantuan awal sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
"Kursus-kursus kesedaran seperti ini perlu diperbanyakkan supaya masyarakat kampung dapat membantu secara asas ketika berlaku bencana.
"Selain itu, keluasan geografi Sabah dan Sarawak juga memerlukan pendekatan berbeza dari segi logistik dan keperluan aset, termasuk penggunaan kenderaan pacuan empat roda serta sokongan bahan api bersubsidi," ujarnya lagi.




Comments