Kerajaan N Sembilan salur dana RM342,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Sebanyak RM342,000 dana tambahan disalurkan Kerajaan Negeri Sembilan kepada 342 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) aktif bagi memperkukuh pelaksanaan program komuniti serta memupuk perpaduan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, sumbangan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan peranan KRT sebagai platform membina keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
"Saya menghargai komitmen Kerajaan Negeri Sembilan yang menyalurkan dana tambahan RM342,000 kepada 342 KRT aktif bagi menyokong pelaksanaan program komuniti," kata Yunes ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kawasan Rukun Tetangga Negeri Sembilan di Dewan Komuniti Taman Sri Pulai 3, semalam.
Menurut beliau, majlis itu menjadi platform untuk mengeratkan kerjasama antara kepimpinan kerajaan dan warga KRT dalam memperkukuh perpaduan komuniti.
"Majlis ini menjadi ruang memperkukuh kerjasama antara kepimpinan dan warga KRT dalam memelihara keharmonian, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," ujarnya.
Dalam program itu, Yuneswaran turut merasmikan Kabin Skim Rondaan Sukarela (SRS) RT Progresif yang dilengkapi uniform dan aksesori moden, Projek Ternakan Ikan Tilapia RT Progresif sebagai inisiatif menjana pendapatan komuniti serta sebuah gelanggang futsal bagi menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti sihat.
Beliau berkata, inisiatif yang dilaksanakan oleh KRT Taman Sri Pulai 3 wajar dijadikan contoh kepada KRT lain di seluruh negara.
"Usaha KRT Taman Sri Pulai 3 ini wajar dijadikan contoh kepada KRT lain," katanya.
Yuneswaran berkata, perpaduan yang kukuh di peringkat komuniti merupakan asas penting kepada kestabilan dan kemakmuran negara.
Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohd Nazri Kasim; wakil Ketua Polis Negeri Sembilan, DSP Saiful Lizan Sulaiman; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim; Pengarah JPNIN Negeri Sembilan, Marlina Termudi; serta Pengerusi KRT Taman Sri Pulai 3, Mohd Farouq Omar.




Comments