Kerajaan mesti bersatu dalam apa jua suasana, jaga kebajikan rakyat - MAPIM


Kerajaan tidak boleh hanya bersatu ketika membentuk Kabinet, tetapi berpecah ketika berhadapan dengan kepentingan rakyat, kata Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar).
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu menyifatkan, Kerajaan Perpaduan merupakan realiti politik yang membawa tanggungjawab besar kepada semua parti yang terlibat.
Justeru katanya, Kerajaan Perpaduan mesti mempunyai disiplin pemerintahan, bukan hanya sekadar disiplin mengenai pembahagian kuasa.
"MAPIM menolak apa yang boleh disebut sebagai 'pengkhianatan terhadap mandat bersama', jika ia bermaksud tindakan politik yang sengaja merosakkan kestabilan pentadbiran demi kepentingan kembali berkuasa.
"Pada masa yang sama, kritikan terhadap kerajaan tidak boleh dilabel sebagai pengkhianatan. Dalam demokrasi, kritikan adalah hak, perbezaan pandangan adalah hak, semak dan imbang adalah keperluan.
"Yang perlu ditolak ialah manipulasi, fitnah, sabotaj pentadbiran, penyalahgunaan institusi dan tindakan yang mengorbankan kepentingan rakyat demi survival politik," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya menyeru semua parti politik untuk melakukan muhasabah dan tidak menggunakan 'dua ukuran' tentang rasuah, salah guna kuasa dan institusi.
"Rasuah orang kita (dipanggil) konspirasi. Rasuah orang lain (dipanggil) jenayah.
"Salah guna kuasa orang kita (dipanggil) fitnah. Salah guna kuasa orang lain (dipanggil) bukti kegagalan moral.
"Institusi menguntungkan kita (dipanggil) adil. Institusi merugikan kita (dipanggil) zalim.
"Budaya seperti ini akhirnya merosakkan negara kerana rakyat kehilangan keyakinan bahawa keadilan benar benar mempunyai ukuran yang sama," tegas beliau lagi.
Dalam isu sama, beliau berkata, pihak MAPIM juga akan terus mengambil pendirian yang bebas daripada tekanan partisan, dengan menilai isu berdasarkan prinsip amanah, keadilan, integriti, kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti, kepentingan rakyat dan maslahah negara.
Ujar beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi, MAPIM tidak akan menjadi alat untuk menjatuhkan mana mana individu atau parti.
Tegasnya lagi, MAPIM tidak akan menjadi pelindung kepada mana mana individu atau parti apabila berlaku salah guna kuasa, tidak kira sama daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.




Comments