Kerajaan MADANI tunjuk komitmen terhadap Perjanjian MA63 - Pakar Perlembagaan
- Suara Keadilan

- Nov 14, 2025
- 1 min read

Keputusan Kerajaan MADANI tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak negeri Sabah terhadap 40 peratus hasil yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai langkah paling wajar dan berjiwa Perlembagaan.
Pakar Perundangan dan Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, langkah tersebut mencerminkan kesediaan Kerajaan Persekutuan menghormati hak negeri yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sekaligus memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Keputusan ini turut memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan Persekutuan Malaysia.
"Ini memberi kesan positif kerana menunjukkan penghormatan kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan, khususnya perkara yang telah dinyatakan dalam Jadual Ke-10 Bahagian Keempat Perlembagaan," katanya dipetik.
Pada Isnin lepas, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
Justeru Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan segera bersama kerajaan negeri Sabah bagi menyelesaikan isu tersebut.
Sementara itu menurut Dr Shamrahayu, keputusan kerajaan memilih pendekatan berunding adalah cara paling berhemah untuk menyelesaikan isu tersebut.
Beliau menambah, hubungan dua hala antara Sabah dan kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh melalui rundingan berterusan bagi memastikan keadilan terhadap hak negeri sentiasa terpelihara.









Comments