Kerajaan MADANI terus perkasa inisiatif wakaf dakwah
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited terus memperkasakan inisiatif Wakaf Dakwah sebagai instrumen pembangunan dakwah yang lebih tersusun, berkesan dan mampan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tujuan itu beliau akan memulakan perbincangan membabitkan beberapa kementerian berkaitan sebelum cadangan memperkasa inisiatif itu dibawa ke Jemaah Menteri dan seterusnya dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.
"Saya sudah minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan untuk memulakan perbincangan bersama PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) dan pihak berkaitan.
"Selepas melalui proses ditetapkan, perkara ini akan dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana ketetapan sedia ada berkaitan hal ehwal wakaf," katanya dipetik laporan media.
Terdahulu, perdana menteri hadir ke Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.
Majlis turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan Yang Dipertua PERKIM.
Sementara itu dalam ucapannya Anwar turut menekankan kepentingan institusi wakaf dan dakwah untuk menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pengkomputeran kuantum bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus perubahan global.
Penguasaan teknologi AI sebagai pendekatan dakwah jelasnya releven bagi mengharungi cabaran semasa termasuk menangani gejala Islamofobia serta persepsi negatif terhadap Islam yang masih wujud di peringkat global.
"Saya sering menyebut, kita perlu 'menggapai di langit dan mengakar di bumi'. Menggapai di langit bermaksud menguasai teknologi baharu, manakala mengakar di bumi ialah memastikan kita kekal berpaksikan akidah, akhlak, budaya dan sejarah bangsa.
"Sebab itu dakwah perlu disampaikan dengan penuh hikmah, menggunakan pendekatan yang bijaksana dan memanfaatkan teknologi semasa," katanya.




Comments