Kerajaan MADANI tambah peruntukan RM8 bilion di Kelantan, basmi kemiskinan
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Golongan muda diseru supaya terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan serta tidak gentar dalam mempertahankan integriti dan keadilan negara.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapan perasmian Mini Konvensyen KEADILAN Kelantan di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu hari ini.
Katanya, semangat anak muda yang kental dan berpendirian amat penting dalam memastikan agenda reformasi terus diperkukuh, khususnya selepas lebih tiga tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.
"Kita mentadbir negara bersama rakan parti lain lebih tiga tahun. Pelbagai pandangan, ada positif ada negatif. Tetapi saya nak beritahu satu perkara, kita mesti bangkit jelaskan tiga tahun setengah kita perintah, kita tak izin salah guna kuasa. Kita tak izin orang mengambil harta negara untuk memperkayakan diri mereka," katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri menjelaskan bahawa Malaysia memiliki keupayaan ekonomi yang kukuh untuk membela nasib rakyat, namun memerlukan pengurusan yang telus dan berkesan.
"Bagi saya ini yang penting, negara ini bukan negara miskin, negara ini punya keupayaan untuk membela nasib rakyat terbanyak tetapi perlu diurus dengan baik," katanya.
Anwar menegaskan Kerajaan MADANI cuba sedaya upaya mengurus negara dnegan baik dan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah atau salah laku, tanpa mengira kedudukan.
"Kalau ada bukti, siapa sahaja tanpa kecuali, termasuk dalam parti atau pejabat saya, kita tidak akan pertahankan
"Sejarah dulu (kerajaan) melindungi semua perasuah dan penjenayah. Bagi saya ini yang penting kerana untuk membawa perubahan, golongan berkuasa iu mesti ada pendirian dan prinsip. Kalau ini terurus kita boleh atur dasar," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan terus memberi tumpuan kepada isu kemiskinan, khususnya di Kelantan, termasuk Daerah Pasir Putih yang dikenal pasti mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.
"Kita telah tambah peruntukan daripada RM5 bilion kepada RM8 bilion pembangunan di Kelantan
"Kalau ada lagi satu dua pimpinan pembangkang di Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang berani sebut kita pinggirkan dan tidak beri peruntukan ke negeri, kita minta mereka buka buku, dan belajar lagi," katanya.
Beliau menegaskan bantuan yang disalurkan tidak berpaksikan kepentingan politik, sebaliknya berasaskan keperluan rakyat.
"Tadi saya umum tambahan RM20 juta bagi rakyat termiskin. Ada saya tanya dia masuk parti mana? Tidak. Sebab masalah itu jadi masalah negara. Ini good governance," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa KEADILAN bersama Kerajaan MADANI komited untuk terus membawa perubahan dan menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
"Kalau tanya balik di kampung, apa istimewa KEADILAN.... jawab berapa puluh tahun merdeka, berapa banyak parti silih berganti di Kelantan, inilah parti KEADILAN dan Kerajaan MADANI yang mahu berusaha memberikan peruntukan dan menyelesaikan masalah di kampung," katanya lagi.



Comments