top of page

Kerajaan MADANI tambah bantuan bajak sawah, BUDI Diesel Individu RM400 sebulan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 days ago
  • 2 min read

Kementerian Kewangan Malaysia mengumumkan langkah penambahbaikan bantuan diesel, khususnya kepada sektor pertanian susulan tekanan berterusan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada kos bahan api dan rantaian bekalan dunia.


Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, langkah tersebut dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan beban rakyat dapat diringankan serta aktiviti ekonomi terus berjalan lancar.


"Penambahbaikan ini dibuat mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global, khususnya gangguan bekalan petroleum di peringkat antarabangsa yang menyebabkan harga diesel bertapis meningkat ketara sehingga AS$250 setong, hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat," kata kenyataan itu.


Sehubungan itu, kerajaan telah bersetuju melaksanakan beberapa langkah utama, termasuk memperkukuh sokongan kepada pesawah.


Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta dan dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah.


"Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga, Kerajaan MADANI memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input," menurut kenyataan itu.


Selain itu, bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI turut dipertingkatkan, dengan kadar BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan.


Bantuan tersebut dijadual disalurkan pada 21 April ini, melibatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.


Manakala BUDI Diesel Individu pula dijangka akan memberi kelegaan kepada lebih 100,000 pemilik kenderaan diesel.


"BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan," jelasnya.


Secara keseluruhan, kerajaan dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi April 2026, termasuk tambahan RM75 juta untuk memperkukuh pelbagai inisiatif bantuan diesel.


Dalam masa sama, kerajaan turut bersetuju melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan, termasuk membenarkan pemilik jentera pertanian membeli melebihi had 20 liter dengan pengesahan pendaftaran jentera.


Menurut kenyataan itu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memantau perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap ekonomi negaradan sedia mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membantu golongan rakyat yang

terkesan serta menstabilkan ekonomi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page