Kerajaan MADANI tak beri perhatian: RM14 bilion peruntukan Johor 2026 bagaimana?
- Akmal Manaf

- 12 hours ago
- 2 min read

Dakwaan UMNO Johor kononnya Kerajaan Persekutuan tidak memberi perhatian kepada Johor disanggah dengan fakta bahawa negeri itu menerima pelbagai projek pembangunan strategik dan peruntukan berbilion ringgit daripada Kerajaan MADANI sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, sepanjang tahun 2026 sahaja, pelbagai projek, pembangunan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Johor dilaporkan mencecah kira-kira RM14.6 bilion.
Katanya, ia merangkumi pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, tebatan banjir, jalan raya, pengangkutan awam serta pembangunan strategik melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Jika benar Perdana Menteri tidak mendengar suara rakyat Johor, bagaimana pula Johor boleh menerima pelbagai projek pembangunan bernilai berbilion ringgit yang sedang dan akan dilaksanakan?
"Terus terang saya katakan, kenyataan tersebut agak menghairankan kerana ia seolah-olah cuba menggambarkan bahawa Kerajaan MADANI tidak memberi perhatian kepada negeri Johor.
"Sebab itu saya melihat kenyataan UMNO Johor ini bukan sahaja tidak adil kepada Perdana Menteri, malah boleh dianggap sebagai satu tuduhan dan tohmahan politik yang tidak berasaskan keseluruhan fakta," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Eddiarman berkata kritikan UMNO Johor terhadap Datuk Seri Anwar berhubung dakwaan mengabaikan keperluan rakyat negeri itu turut menimbulkan persoalan sama ada parti berkenaan menganggap pemimpin-pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet di peringkat Persekutuan juga gagal memperjuangkan kepentingan Johor.
"Adakah UMNO Johor juga sedang menuduh tiga orang Menteri UMNO yang berasal dari Johor dan berada dalam Kabinet telah gagal membawa suara rakyat negeri mereka sendiri?
"Adakah UMNO Johor juga mahu mengatakan bahawa Presiden UMNO yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, telah gagal memperjuangkan kepentingan Johor dalam mesyuarat Jemaah Menteri?
"Adakah UMNO Johor turut berpendapat bahawa Timbalan Presiden UMNO yang juga anggota Kabinet gagal memainkan peranannya dalam menyampaikan keperluan rakyat Johor kepada Kerajaan Persekutuan?
"Jika jawapannya ya, maka kritikan UMNO Johor sebenarnya bukan sekadar ditujukan kepada Perdana Menteri, tetapi turut mencerminkan kegagalan pemimpin-pemimpin kanan UMNO sendiri yang berada dalam kerajaan.
"Jika jawapannya tidak, mengapa Perdana Menteri sahaja yang dijadikan sasaran sedangkan keputusan Kabinet dibuat secara kolektif oleh seluruh anggota kerajaan termasuk pemimpin-pemimpin UMNO?" soal beliau.
Menurut Eddiarman lagi, walaupun Johor berhak menyuarakan keperluan dan tuntutannya sebagai antara negeri penting kepada ekonomi negara, adalah tidak wajar mewujudkan persepsi bahawa negeri itu dipinggirkan sedangkan Kerajaan Persekutuan terus memberikan perhatian yang besar terhadap pembangunannya.
Terdahulu, UMNO Johor menerusi Ketua Penerangannya, Md Israk Abdullah menggesa Datuk Seri Anwar mendengar suara dan keperluan serta menyegerakan kelulusan dan pelaksanaan projek-projek penting di negeri berkenaan.
Md Israk dilapor berkata, isu kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur, jaringan jalan raya dan pelbagai projek strategik tidak seharusnya terus berdepan kelewatan.
"UMNO Johor berpandangan bahawa perkara yang dibangkitkan berkaitan keperluan mempercepatkan pembangunan, memperkukuh autonomi pelaksanaan serta mengurangkan birokrasi yang melambatkan projek-projek rakyat wajar diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.
"Sebagai negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara, Johor berhak menerima perhatian dan sokongan yang setimpal bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan," katanya dipetik.




Comments