top of page

Kerajaan MADANI semak semula kadar gaji minimum

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 1 min read

Kerajaan sedang dalam proses menyemak semula kadar gaji minimum RM1,700 bagi menentukan sama ada perlu dikekalkan atau dinaikkan ke paras baharu.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, semakan selaras dengan Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dengan keputusan akhir akan dimuktamadkan Majlis Perundingan Gaji dan Gig Negara (MPGGN).

Beliau juga menjelaskan bahawa semakan tersebut mengambil kira indikator asas seperti Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan kewangan majikan.


Selain itu, semakan berkenaan turut mengambil kira Indeks Harga Pengguna (IHP), produktiviti buruh, dan kadar pengangguran semasa.


"Bank Negara memperkenalkan konsep gaji kehidupan wajar pada 2018 dengan menganggarkan gaji kehidupan wajar di Kuala Lumpur contohnya RM2,700 untuk individu bujang.


"Perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) diperkenalkan Jabatan Perangkaan, di mana kadarnya lebih granular mengikut lokasi, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah sebenar.


"Dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 turut menggariskan strategi reformasi pasaran buruh, antaranya mempercepat pelarasan gaji melalui semakan gaji minimum dengan mengambil kira gaji kehidupan wajar dan akan disyorkan kepada kerajaan untuk gaji minimum akan datang," katanya dipetik Utusan Malaysia.


Ramanan sementara itu turut memaklumkan, Kerajaan MADANI turut memperkenalkan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai pelengkap kepada model gaji minimum dan sistem gaji berasaskan produktiviti.


Dasar tersebut jelasnya merupakan strategi kerajaan untuk menganjak struktur upah daripada sekadar gaji lantai kepada gaji yang setimpal dengan kemahiran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page