Kerajaan MADANI sasar lahirkan 10 syarikat Juara Bumiputera menjelang 2028
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI menyasarkan melahirkan 10 Syarikat Juara Bumiputera dengan nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta setiap satu menjelang 2028.
Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) pada sidang media mingguan di Putrajaya pada Jumaat.
Menurut beliau,Program 10 Juara Bumiputera itu bertujuan memacu pertumbuhan mampan dan memperkasa komuniti bumiputera, di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) dan sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI.
Usaha itu akan dilaksana menerusi program kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang bakal membimbing syarikat Bumiputera berpotensi tinggi sehingga layak disenaraikan di Bursa Malaysia.
"Pada tahun ini, empat syarikat majoriti milik Bumiputera kini dalam saluran penyenaraian di Bursa Malaysia.
"Manakala, sasaran 10 penyenaraian baharu bagi tempoh 2026-2027 telah ditetapkan, mengatasi pencapaian sepanjang lima tahun sebelumnya," katanya dipetik laporan media tempatan.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi sementara itu menambah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), GLIC dan Petronas akan terus menyokong agenda pembangunan Bumiputera dengan sumbangan kira-kira RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada 2025.
"Selain itu GLIC menyasarkan pelaburan langsung RM2 bilion ke dalam syarikat Bumiputera pada 2026, disokong garis panduan baharu pembangunan vendor bagi memperkukuh kapasiti dan daya saing mereka," tambahnya.




Comments