Kerajaan MADANI realisasikan perpindahan SJKT Ladang Sungai Muar
- Suara Keadilan
- 49 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan termasuk sekolah vernakular apabila proses pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Muar kini memasuki fasa pemilikan tanah.
Menurut Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, lawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke kawasan itu kelmarin adalah bagi mengadakan sesi libat urus bersama pihak sekolah, sekali gus membuktikan kerajaan memberi perhatian serius terhadap usaha merealisasikan perpindahan sekolah berkenaan.
"Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada YB Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan atas kesudian turun ke kawasan saya bagi mengadakan sesi libat urus bersama pihak sekolah berhubung proses pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar ke tapak baharu," katanya dalam must naik di media sosial.
Menurut Yuneswaran, sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Segamat pada 2022, beliau secara konsisten memperjuangkan perpindahan sekolah itu berikutan faktor keselamatan, kedudukannya yang jauh daripada komuniti setempat serta pelbagai isu infrastruktur.
Katanya, proses pemindahan kini berada pada peringkat pemilikan tanah yang sedang diuruskan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
"Berdasarkan taklimat yang diberikan, proses kini berada pada fasa pemilikan tanah yang sedang berjalan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Segamat," katanya.

Yuneswaran dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha memastikan murid di Segamat dapat menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau menegaskan akan terus memantau perkembangan projek itu sehingga perpindahan SJKT Ladang Sungai Muar berjaya dilaksanakan.
"Kerajaan MADANI akan terus komited mengutamakan pendidikan anak-anak. Bagi pihak saya, isu ini akan terus dipantau dan tindakan susulan akan diteruskan sehingga proses pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar berjaya direalisasikan," katanya.
Hadir bersama pada majlis kelmarin adalah pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia, termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, PPD Segamat.
