Kerajaan MADANI perluas inisiatif kebajikan mahasiswa B40


Kerajaan MADANI akan memperluas pelbagai inisiatif kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sepanjang tempoh pengajian mereka di institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif yang merangkumi penyediaan makanan, kemudahan penginapan, bantuan pengangkutan serta pembiayaan pendidikan itu bertujuan memenuhi keperluan asas golongan berkenaan.
"Ketika ini, KPT telah melaksanakan Inisiatif Dapur Siswa MADANI (DSM) yang menyediakan makanan percuma sebanyak dua kali sehari dengan memanfaatkan kemudahan dapur serta bahan mentah di kolej kediaman universiti awam (UA).
"Inisiatif ini menyokong aspirasi Zero Hunger, selain memupuk budaya kesukarelawanan dan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau turut memaklumkan, pelajar B40 yang layak turut menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) RM1,500 sebelum mendaftar ke UA atau politeknik.
KPT juga menyediakan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) membolehkan pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar mendapat pembiayaan pendidikan dalam bentuk biasiswa, selain Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) bagi membantu generasi pertama keluarga B40 melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
"Bagi meringankan kos perjalanan, inisiatif FLYsiswa menyediakan subsidi pembelian tiket penerbangan bernilai RM400 dalam bentuk kredit kepada pelajar IPT bagi perjalanan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Jumlah bantuan itu akan dinaikkan kepada RM500 menerusi Belanjawan 2027," katanya.
Kerajaan Persekutuan juga jelasnya memperuntukkan RM800 juta pada 2027 untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA, termasuk asrama dan kolej kediaman.




Comments