top of page

“Kerajaan MADANI optima potensi anak bandar, desa melalui pendidikan”

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 2 days ago
  • 2 min read
DS Anwar bersama penuntut Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim, Johor
DS Anwar bersama penuntut Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim, Johor

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan hak pendidikan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau geografi.


Kata Anwar, pendemokrasian pendidikan bagi memastikan tiada pelajar tercicir, sama ada di bandar mahupun di kawasan pedalaman seiring konsep digariskan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang menjadi asas penting dalam merangka dasar pendidikan negara.


"Maknanya setiap anak, sama ada di kota atau desa, kaya atau miskin, mesti diberi peluang yang adil untuk mendapat pendidikan terbaik.


"Usaha ini bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, tetapi turut melibatkan peningkatan kualiti pengajaran, pembangunan bakat serta akses kepada teknologi pendidikan moden.


"Kalau kita tidak optimakan potensi setiap murid, anak orang kaya di bandar akan terus ke hadapan, sementara anak di desa akan terus ketinggalan," katanya pada sesi ramah mesra di Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim pada Sabtu.


Beliau turut menyeru warga pendidik untuk memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan agenda ini, termasuk memastikan pendekatan pembelajaran inklusif dan berkesan di semua peringkat.


Anwar yang juga bekas Menteri Pendidikan menuntut perubahan sikap dalam kalangan institusi dan tenaga pengajar supaya tidak lagi terikat kepada pendekatan lama yang mungkin tidak sesuai dengan cabaran semasa.


"Kita tidak boleh bergantung kepada kaedah lama semata-mata. Dunia sudah berubah, dan pendidikan mesti bergerak seiring dengan perubahan itu.


"Kalau kita hanya sediakan infrastruktur tanpa membina kandungan dan bakat, kita tetap akan ketinggalan.


"Pendidikan yang adil dan berkualiti adalah kunci untuk memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang yang sama untuk berjaya," katanya.


Dalam pada itu ketika sesi soal jawab, pelajar turut membangkitkan isu elaun guru pelatih dan Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu, walaupun berdepan kekangan kewangan semasa.


"Saya faham beban yang ditanggung. Kerajaan akan cuba sedaya mungkin membantu, tetapi kita juga berdepan cabaran besar termasuk krisis geopolitik, perang di Timur Tengah dan tekanan ekonomi global," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa setiap keputusan melibatkan peruntukan tambahan perlu dibuat secara berhati-hati kerana membabitkan implikasi kewangan yang besar kepada negara.


"Setiap tambahan peruntukan itu melibatkan berbilion ringgit. Kita kena pastikan ia diurus dengan baik supaya tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara," katanya.


Perdana Menteri menegaskan bahawa kebajikan pelajar, khususnya bakal pendidik, tetap menjadi perhatian kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page