Bangkit PH N Sembilan, perkukuh strategi lawan 'musuh' sampai menang
- Noraini Nordin

- 2 hours ago
- 2 min read

ULASAN BERITA: Kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan ketika ini, walaupun memperlihatkan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) ditikam dengan kawan sendiri dalam Kerajaan Perpaduan di negeri beradat ini, ia tidak seharusnya menjadikan kita lemah.
Sebaliknya jadikan kemelut khianat ini sebagai satu iktibar supaya pimpinan PH khasnya KEADILAN lebih berhati-hati dan jangan terlalu leka pada saat berada dalam `istana kuasa’ sehingga tidak sedar tiang seri sudah dimamah anai-anai secara diam-diam.
'Musuh dalam selimut'
Apapun istilah untuk kita labelkan 'kumpulan 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan' ini, perlulah diingat politik adalah percaturan kuasa, kalah atau menang harus dilihat sebagai asam garam yang biasa. Apa yang paling penting bagaimana kita mahu bangkit setelah berlaku episod 'musuh dalam selimut' ini.
Bagaimana kita mahu merawat luka dan memperkukuhkan strategi untuk menjadi lebih kuat melawan semula musuh tersebut secara bijaksana serta tanpa berputus asa.
Untuk peristiwa ini, banyak sebenarnya yang KEADILAN dan PH boleh belajar daripada episod penarikan sokongan 14 ADUN terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Siapa menang dan siapa kalah belum diketahui lagi, yang pasti Aminuddin bertegas bahawa beliau akan terus kekal sebagai Menteri Besar selagi belum ada kejelasan yang muktamad mengenai kedudukannya.
Undi tidak percaya
Bagi Aminuddin yang didakwa telah hilang sokongan berikutan 14 ADUN menarik sokongan, ia sebenarnya perlu dibuktikan di dalam Sidang DUN bagi menunjukkan sokongan yang tidak boleh disangkal lagi.

Tanpa pembuktian yang sahih dan direkodkan, semua yang berlegar hanyalah cakap dengar atau `hearsay’ semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga menyatakan Aminuddin akan terus mentadbir Kerajaan Negeri kerana begitulah yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika beliau mengadap baginda semalam.
Melalui episod ini, KEADILAN terutamanya, secara khusus harus mulai berhati-hati kerana kawan bila-bila masa sahaja boleh bertukar menjadi lawan, walaupun selama ini selalu saling ketawa ketika bersama.
Siapa sangka UMNO Negeri Sembilan yang diberi empat kerusi Exco dalam pentadbiran negeri, sekelip mata sahaja telah memilih untuk menjadi lawan.
Janji ketika pilihan raya negeri 2023 lalu dan sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan bahawa mandat rakyat akan dipertahankan sehingga habis penggal, nampaknya tidak dipedulikan.
Jangan lemah hadapi ujian
Sebagai mantan Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat dan juga mantan Ketua Penerangan Wanita PH Negeri Sembilan, penulis menyeru sahabat-sahabat seperjuangan KEADILAN dan PH supaya tidak harus lemah dengan pengkhianatan ini.
Sama ada selepas ini masih lagi bersama UMNO atau tidak, hubungan pasti akan menjadi lain serta janggal.
Penulis percaya, rakyat pasti dapat menilai siapa yang menikam dan siapa yang kena tikam.
KEADILAN dan PH mesti terus berani melawan dan pastikan, dalam apa juga keadaan, mencari kemenangan untuk membela nasib rakyat hendaklah sentiasa jadi keutamaan.
Pastikan juga selepas ini, KEADILAN dan PH terus diperkukuhkan dan bangkit untuk menang lebih bergaya dan tidak bergantung lagi kepada rakan rakan yang khianat.




Comments