PH kesal pengkhianatan 14 ADUN BN, tolak usaha tubuh kerajaan 'tebuk atap'
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan di peringat nasional.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, pihaknya menolak keras langkah yang dianggap sebagai percubaan secara pintu belakang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
"Tindakan ini jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
"Pakatan Harapan menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, langkah berkenaan juga dilihat tidak mengambil kira kepentingan rakyat, khususnya ketika negara berdepan krisis tenaga global.
"Tindakan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan ini dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan bahawa pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berjalan seperti biasa sebagaimana disembah maklum oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semalam.
Menurutnya, PH akan terus memberikan kerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi memastikan kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat terpelihara.
"Pakatan Harapan akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan Kerajaan Negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat.
"Pakatan Harapan juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu," katanya lagi.
Krisis politik di Negeri Sembilan bermula apabila UMNO-BN melalui pengerusi perhubungannya, Datuk Jalal mengumukkan menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan pimpinan MB Amirudin semalam.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kemudiannya menitahkan pentadbiran MB Aminuddin berfungsi seperti biasa, sementara sebarang perubahan hanya akan dibuat sekiranya terdapat keperluan berdasarkan proses undang-undang.




Comments