Kerajaan MADANI lulus RM60 juta bantu basmi kemiskinan di T'ganu
- Suara Keadilan
- 12 hours ago
- 1 min read

Peruntukan khas sebanyak RM60 juta telah diluluskan Kerajaan MADANI bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu pada tahun 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyaluran peruntukan itu menumpukan kepada usaha peningkatan pendapatan rakyat serta penambahbaikan perumahan, khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah.
"Untuk negeri Terengganu, program pembasmian kemiskinan kita luluskan peruntukan khas RM60 juta.
"Pelaksanaan program itu diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar," katanya dipetik.
Beliau yang juga Menteri Kewangan sebelumnya hadir ke Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar Sekolah Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di Kuala Terengganu pada Selasa.
Pada majlis itu Datuk, Seri Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan fasiliti melibatkan 18 institusi tahfiz dan pondok di negeri itu.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan supaya sistem pendidikan negara mengekalkan keseimbangan antara ilmu dan adab dan menegaskan kepentingan penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan agama agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan.
"Penguasaan teknologi maklumat termasuk artificial intelligence ini penting, jangan kita ketinggalan dan biarkan orang lain terus ke hadapan," tambahnya.
