Kerajaan MADANI jamin subsidi, bantuan rakyat terus kekal
- Suara Keadilan

- 7 days ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI memberi jaminan tidak akan mengurangkan pemberian subsidi termasuk bantuan yang sedang disalurkan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata pendirian itu kekal meskipun berdepan keadaan ketidaktentuan ekonomi global.
"Kerajaan tidak akan mengurangkan apa jua subsidi atau bantuan sedia ada. Itulah pendirian kerajaan pada ketika ini," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau berkata, konflik di Asia Barat telah memberi tekanan terhadap pasaran tenaga global dan menyebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia.
Namun jelasnya kerajaan bukan sahaja berjaya mengekalkan harga petrol menerusi BUDI95, malah memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi sepanjang tempoh berkenaan.
"Saya rasa dua sumbangan yang paling penting ialah satu, harga kekal semasa krisis di Asia Barat . Kedua, kerajaan telah memastikan bekalan minyak terjamin.
"Di negara lain, rakyat mereka beratur untuk dapatkan petrol dan ini saya rasa adalah keunikan dan juga kelebihan BUDI95," katanya.
Sementara itu Chin Tong mendedahkan konflik tersebut memberi kesan terhadap perbelanjaan kerajaan terutama subsidi bahan api.
Kerajaan jelasnya menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
"Subsidi pada Mei dan Jun menyederhana kepada sekitar RM4 bilion. kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi 2026 tertakluk kepada perkembangan krisis di Asia Barat," jelasnya.




Comments