top of page

Kerajaan MADANI dalam proses perkukuh tadbir urus, intergriti NAFAS

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 17 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI sedang berusaha memperkukuh tadbir urus, integriti serta keberkesanan pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, pihaknya kini sedang meneliti undang-undang dan peraturan bagi menangani isu-isu yang dikenal pasti sekaligus melindungi kepentingan ahli pertubuhan itu.


Tambahnya, ketika ini perlembagaan NAFAS masih digantung di bawah Seksyen 20 Akta Pertubuhan Peladang 1973 berikutan langkah-langkah reformasi tadbir urus sebelum pentadbiran diserahkan semula kepada lembaga yang dipilih.


"Berhubung dakwaan tempoh penggantungan telah melebihi had yang dibenarkan oleh undang-undang, perkara itu kini sedang dibicarakan di mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman yang difailkan terhadap Pendaftar Pertubuhan Peladang.


"Memandangkan perkara ini sedang dalam pertimbangan mahkamah, kerajaan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan adalah tidak wajar untuk mengulas lanjut mengenainya (sub judice)," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.


Perlembagaan NAFAS digantung berkuatkuasa November 2024, bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.


Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi NAFAS.


Sementara itu menurut Mohamad Sabu, Pelan Reformasi NAFAS 2.0 sedang dilaksanakan secara berperingkat, meliputi aspek tadbir urus dan kepimpinan, kerangka perundangan serta pematuhan, pengurusan dana dan perolehan, model perniagaan dan kemampanan kewangan, selain sistem pemantauan dan audit dalaman.


Operasi teras, termasuk pembekalan baja, input pertanian dan perkhidmatan kepada ahli, terus berjalan seperti biasa bagi memastikan keterjaminan makanan negara tidak terjejas, katanya.


"Bagi memperkukuh pemantauan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Reformasi Tadbir Urus untuk memantau kemajuan pelan reformasi serta mengesyorkan penambahbaikan bagi memastikan proses pemulihan dan pengukuhan tadbir urus Nafas dilaksanakan secara berkesan, telus dan bertanggungjawab.


"Kementerian juga terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan peladang kawasan dan negeri, menerusi mesyuarat, perbincangan serta sesi libat urus bagi mendapatkan maklum balas terhadap proses reformasi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page