Kerajaan MADANI beri lebih RM20 juta baik pulih sekolah di Perlis
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan sebanyak RM20.1 juta pada tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan di Perlis.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (gambar) berkata, peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis turut melibatkan pembaikan kerosakan infrastruktur serta penambahbaikan kemudahan sekolah bagi keselesaan murid dan guru.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih institusi pendidikan.
"Ia termasuk pembaikan kerosakan infrastruktur yang berpunca daripada kejadian bencana alam seperti ribut serta insiden luar jangka yang berlaku sepanjang tahun ini," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu JPN Perlis yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar pada Rabu.
Selain itu jelasnya, KPM turut menyalurkan RM2.11 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja baik pulih bilik guru manakala RM2.9 juta lagi bagi menaik taraf ruang sedia ada untuk dijadikan bilik darjah.
Sebanyak RM5.01 juta lagi diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan sekolah sebagai persediaan menerima kemasukan murid Tahun Satu pada 2027.
"Peruntukan ini disediakan bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan yang mencukupi selain membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Wong berkata, sebanyak 35 projek pembangunan pendidikan bernilai RM73.79 juta sedang dilaksanakan di Perlis melibatkan pembinaan dan naik taraf kemudahan pendidikan, perolehan tanah serta penyediaan peralatan sekolah.




Comments