top of page

Kerajaan MADANI beri bantuan sepenuhnya mangsa kebakaran Sandakan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Kampung Bahagia lenyap seketika dalam kebakaran bakal dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan MADANI
Kampung Bahagia lenyap seketika dalam kebakaran bakal dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan MADANI

ULASAN BERITA: Prihatin terhadap mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah, Kerajaan Perpaduan mengumumkan sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 kepada setiap keluarga terjejas dengan anggaran keseluruhan sumbangan RM450,000.


Selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan aspek ihsan, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam turun sendiri ke lapangan bagi menyantuni mangsa kebakaran.


Beliau berkata, peruntukan sumbangan kewangan itu akan diselaraskan dan diagihkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


Anwar yang juga Presiden KEADILAN menyifatkan, kebakaran yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah pada Ahad lalu itu sebagai ‘masalah sangat besar’ dari segi sejarah kebakaran yang pernah berlaku dalam negara dan mahu sumbangan berkenaan disampaikan dengan kadar segera.


Beliau tiba di lokasi bencana berhampiran Masjid Kampung Bahagia pada 4.20 petang, diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.


Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) yang diketuai Fadhlina Sidek turut sama meringankan beban keluarga mangsa kebakaran dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM300 bagi setiap anak warganegara Malaysia yang bersekolah.


Bantuan yang melibatkan 12 sekolah itu akan memberi manfaat kepada 454 murid yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyegerakan bantuan pakaian seragam sekolah, namun kelonggaran diberikan sementara waktu kepada pelajar untuk hadir ke sekolah tanpa memakai uniform.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan penggantian dokumen pengenalan diri kepada mangsa kebakaran secara percuma.


Ia termasuk penggantian sijil kelahiran, MyKid, MyKad, sijil kematian, sijil perkahwinan bukan Islam dan penggantian pasport oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui perkhidmatan bergerak ke lapangan MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) akan menguruskan hal berkenaan.


Kerajaan Negeri Sabah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000, manakala Yayasan Kebajikan Sabah menyalurkan bantuan berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas.


Pada 19 April lalu, kebakaran di perkampungan atas air itu telah memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan seramai 9,007 penduduk hilang tempat tinggal.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, kebakaran melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar dan keadaan laut surut menyukarkan usaha mendapatkan bekalan air terbuka bagi operasi pemadaman.


Punca sebenar kejadian kebakaran itu masih dalam siasatan pihak bomba.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page