top of page

Kerajaan lulus RM4.3 juta, naik taraf tiga hospital di Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read
DS Dr Dzulkefly (kanan sekali) dalam lawatan beliau ke hospital Ranau mendapat sambutan buasana tradisional
DS Dr Dzulkefly (kanan sekali) dalam lawatan beliau ke hospital Ranau mendapat sambutan buasana tradisional

Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan hampir RM4.3 juta bagi menangani keperluan mendesak di tiga hospital daerah di Sabah.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan melibatkan Hospital Tambunan, Hospital Ranau dan Hospital Kota Belud itu bertujuan memastikan kemudahan kesihatan kepada rakyat sentiasa berada dalam tahap yang baik.


"RM988,000 diluluskan untuk Hospital Tambunan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan, membaiki kantin serta mendapatkan kelengkapan perubatan.


"Berkaitan projek Jabatan Pesakit Luar (JPL) yang terbengkalai selama sembilan tahun, kita memutuskan untuk batalkan projek tersebut dan memberi fokus kepada pembinaan hospital baharu sebagai gantian," katanya dipetik laporan media.


Terdahulu Dr Dzulkefly menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah yang turut dihadiri Datuk Julita Mojungki, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.


Beliau turut memaklumkan kerja awalan bagi pembinaan hospital baharu itu sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon butiran penuh projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Rolling Plan 3 (RP3).


Sementara itu menurut Dr Dzulkefly, kajian kebolehlaksanaan turut dilaksana bagi menilai cadangan memperbaharui Hospital Ranau.


Bagaimanapun RM1.279 juta diluluskan untuk menyelesaikan beberapa isu kritikal di hospital berkenaan membabitkan peruntukan RM950,000 bagi membina semula kaunter triage, membaiki kantin, menaik taraf kapasiti transformer elektrik untuk pemasangan pendingin hawa serta mendapatkan tiga peti mayat baharu.


"RM329,000 lagi diperuntukkan bagi peralatan perubatan penting, selain kelulusan mendapatkan empat ambulans baharu," ujarnya.


Bagi Hospital Kota Belud , sebanyak RM2.01 juta diperuntukan membabitkan RM1 juta bagi menaik taraf Unit Pesakit Luar, RM510,000 untuk kelengkapan Unit Pergigian dan RM500,000 bagi mendapatkan mesin Mobile X-Ray baharu.


"Mesin Mobile X-Ray baharu itu akan menggantikan aset lama yang berusia 18 tahun," jelasnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Dzulkefly turut memaklumkan, Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth dijangka siap pada suku ketiga 2027.


Beliau berkata projek berkenaan merupakan projek baharu di bawah pelaksanaan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kos keseluruhan RM125 juta.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page