Kerajaan Johor tidak stabil jika Pas berperanan?
- Akmal Manaf
- 12 hours ago
- 2 min read

Sokongan terbuka Pas kepada BN Johor yang membayangkan keinginan parti itu untuk menyertai Kerajaan Negeri sekiranya BN mendapat sejumlah kerusi yang signifikan pada 11 Julai ini wajar menjadi pertimbangan berhati hati pengundi Bangsa Johor.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), tiada jaminan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan stabil sekiranya Pas bersama BN, kerana rekod parti itu menunjukkan pendirian politiknya sering berubah.
Mahfuz berkata, rakyat Malaysia mempunyai pengalaman panjang menyaksikan perubahan pendirian Pas, justeru timbul persoalan sama ada terdapat jaminan bahawa kerjasama politik bersama BN mampu bertahan.
"Pas pernah bersama KEADILAN dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR). Kemudian hubungan itu diputuskan. Pas selepas itu membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO. Tidak lama kemudian lahir pula Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu selepas episod Langkah Sheraton.
"Kini Pas pula menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu dan secara terbuka menawarkan sokongan kepada UMNO-BN di Johor. Inilah yang membimbangkan rakyat," katanya menerusi satu kenyataan.
Tegas Mahfuz tiada jaminan Pas tidak akan berubah arah beberapa tahun lagi ketika penggal pemerintahan di Johor belum tamat.
"Kalau hari ini Pas boleh meninggalkan Bersatu dan menghulurkan tangan kepada UMNO, apakah jaminan beberapa tahun lagi Pas tidak akan mengubah pendirian sekali lagi?," tanyanya.
Mahfuz menegaskan, kerajaan bukan khemah pasar malam yang hari ini dipasang oleh satu pihak, esok dibuka dan dipasang semula oleh pihak lain di tapak sama.
Katanya, Johor tidak memerlukan sebuah kerajaan yang sentiasa dibayangi kemungkinan pertukaran rakan politik atau percaturan kuasa selepas berlaku pilihanraya.
"Johor bukan tempat untuk satu lagi eksperimen politik. Rakyat Johor perlu bertanya kepada diri sendiri.
"Jika kerajaan dibentuk melalui gabungan yang hari ini berkawan, esok berlawan, lusa berdamai semula, siapakah yang akhirnya menanggung akibat? Jawapannya ialah rakyat.
"Johor memerlukan kestabilan, bukan politik lompat dari satu pakatan ke satu pakatan. Johor (juga) memerlukan kepastian, bukan eksperimen politik yang berulang ulang.
"Cukuplah rakyat Malaysia menjadi mangsa percaturan kuasa. Kini masanya Johor memilih sebuah kerajaan yang stabil, jelas hala tujunya dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada masa depan negeri serta kebajikan rakyat," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Pas bersedia menyumbang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sekiranya BN tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor Sabtu ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga tidak akan meminta jawatan Menteri Besar Johor mahupun Exco Kerajaan Negeri.
"Kalau ikutnya ada kelemahan, Pas boleh tampung kelemahan itu. Bergantung kepada kerusi yang kita menang. Kalau dengan Pas boleh menang jumlah majoriti kerusi, Pas boleh tampung atau tidak cukup majoriti, Pas boleh tampung," katanya memetik laporan media tempatan.
