Kerajaan berjaya kutip RM15 bilion hasil polisi anti-korupsi
- Suara Keadilan

- Nov 18, 2025
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kejayaan Kerajaan MADANI mengutip RM15.5 bilion dalam tempoh 2024 hingga 2025 melalui tindakan rampasan dan kutipan penalti oleh pihak berkuasa mencerminkan keberkesanan pelaksanaan reformasi institusi dan perundangan yang sedang digerakkan kerajaan.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil sedemikian hanya dapat dicapai dengan adanya tekad politik.
Beliau menegaskan, undang-undang, peraturan atau kelengkapan apa sekali pun tidak akan membawa perubahan jika tekad politik itu tidak wujud.
"Saya bersetuju dengan YB (Datuk Seri Doris Sophia Brodi) bahawa hal ini diutamakan dan menurut menteri berkenaan, RUU itu boleh dibentangkan pada tahun depan. Sebahagian awal dan sebahagiannya lagi pada pertengahan.
"Tapi yang penting sekali ialah pelaksanaannya, tidak boleh dimungkiri kenyataan bahawa atas kesungguhan dan tekad yang ada di SPRM, LHDN, PDRM, Kastam dan lain-lain, kita berjaya mengumpulkan RM15.5 bilion (hasil tindakan rampasan dan kutipan penalti pihak berkuasa negara).
"Sepatutnya hal ini diberikan perhatian kerana sudah berhasil dengan tindakan-tindakan yang berkesan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu perkembangan terkini berhubung reformasi institusi dan perundangan yang sedang dirangka kerajaan termasuk RUU Ombudsman, kebebasan maklumat (FOI) dan pendanaan politik serta sejauh mana langkah-langkah itu dijangka dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Anwar menjelaskan, keempat-empat RUU itu kini sedang melalui proses libat urus antaranya dengan Parlimen, Majlis Peguam dan pihak-pihak berkepentingan lain sebelum ia dimuktamadkan.









Comments