top of page

Kerajaan bakal gubal RUU kawal selia industri pusat data

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
Oct 20
1 min read

Kerajaan MADANI merancang untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Infrastruktur Digital (Pusat Data) untuk mengawal selia pertumbuhan industri pusat data.


Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, RUU itu bertujuan memastikan pelaburan dalam industri itu memberi nilai tambah kepada ekonomi domestik, selain memastikan ia selari kapasiti bekalan tenaga dan air negara. dan mengelak ketidakseimbangan impak terhadap alam sekitar.


Katanya, cadangan penggubalan RUU itu merupakan sebahagian daripada pelan pengawalseliaan strategik yang dipersetujui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dirancang untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada tahun depan.


"Persetujuan itu dicapai susulan pembentangan Hala Tuju Strategik Negara Ke Arah Pembangunan Pusat Data Lestari oleh Kementerian Digital.


"Langkah ini diambil bagi menangani kekangan utiliti, mengelak ketidakseimbangan impak alam sekitar serta memastikan pelaburan pusat data memberi limpahan ekonomi nyata kepada ekosistem digital tempatan," katanya dalam satu kenyataan.


Akmal sementara itu berkata, MTEN turut bersetuju supaya empat kementerian peneraju bersama agensi pelaksana menerima pakai Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK) yang dibentangkan Kementerian Ekonomi.


"Dasar bersepadu ini digubal bagi mengatasi isu pelaksanaan secara berasingan merentas kementerian sebelum ini, mengelak kerugian ekonomi akibat kehilangan sumber bernilai dan menyokong aspirasi sifar bersih menjelang 2050," katanya.


Empat kementerian tersebut menurutnya ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page