top of page

Keputusan politik peringkat negeri tak gugat kestabilan Kerajaan Perpaduan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PH akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor membuktikan gabungan itu bersedia tampil dengan kekuatan, keyakinan dan rekod pentadbiran sendiri.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, R Yuneswaran (gambar) berkata, pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian berdasarkan prestasi sebenar kerajaan hari ini, bukannya propaganda, politik kebencian atau politik ketakutan.


"Rakyat hari ini semakin matang. Mereka tidak lagi mahu pemimpin yang hanya muncul ketika musim pilihanraya, berpura-pura prihatin dan hilang selepas mendapat kuasa.


"Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bekerja setiap hari, menyelesaikan masalah rakyat, menjaga ekonomi, membina perpaduan dan memastikan kestabilan negara terus terpelihara.


"Dalam demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk bertanding dan membuat keputusan sendiri. Kita menghormati prinsip tersebut.


"Namun, keputusan politik di peringkat negeri tidak akan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kerana keutamaan kami tetap sama, iaitu memastikan negara terus stabil, ekonomi terus berkembang dan rakyat terus terbela," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, Yuneswaran menyifatkan Anwar bukan seorang yang sempurna, namun beliau dan pasukannya bekerja dengan penuh keikhlasan, kesungguhan dan komitmen demi rakyat walaupun berdepan tekanan hebat dari dalam dan luar.


Ujarnya mentadbir sebuah kerajaan yang dianggotai 18 parti politik dengan pelbagai ideologi, agenda dan tuntutan bukan sesuatu perkara yang mudah.


"Tetapi sehingga hari ini, Kerajaan Perpaduan masih berdiri kukuh dan terus mentadbir negara dengan stabil. Itulah kekuatan sebenar politik matang.


"Ketika pihak lain terus bermain politik kebencian dan perpecahan, Kerajaan MADANI memilih untuk bekerja, memulihkan ekonomi, menarik pelaburan, memperkukuh bantuan rakyat, meningkatkan keyakinan pelabur serta memastikan kestabilan politik negara terus terjamin.


"Rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami. Pilihan raya bukan sekadar perebutan kuasa, ia soal masa depan negara, kestabilan dan soal ekonomi rakyat.


"Ini soal mandat untuk mentadbir dengan bertanggungjawab dan Pakatan Harapan bersedia untuk mempertahankan rekod, meneruskan agenda reformasi serta memperjuangkan sebuah Malaysia yang lebih adil, progresif dan bersatu di bawah semangat Malaysia MADANI," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page