Kepimpinan Anwar, Deklarasi Kuala Lumpur kembalikan kegemilangan M'sia
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mengangkat semula imej negara di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya melalui Deklarasi Kuala Lumpur dalam Sidang Kemuncak ASEAN yang menumpukan aspek pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial.
Bagi Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, deklarasi berkenaan mencerminkan satu bentuk diplomasi pembangunan yang memberi impak langsung kepada rakyat di negara ASEAN.
Manakala menjelaskan mengenai kepimpinan Anwar yang menggilap semula nama Malaysia sebagaimana pada era 1990an, beliau berkata, situasi agak berbeza kerana Anwar pada waktu ini telah merintis hubungan dengan blok kerjasama BRICS berbanding pada era tiga dekad lalu Malaysia lebih tertumpu kepada kuasa kuasa Barat sahaja.
Katanya, kini Malaysia lebih berperanan sebagai 'pengimbang kuasa' dalam dunia yang semakin multipolar, khususnya dalam konteks China, Amerika Syarikat (AS), BRICS, dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Kepimpinan Malaysia lebih tertumpu kepada integrasi ekonomi dan sosial serantau, bukan semata-mata geopolitik.
"Maka, penghormatan yang diraih kini lebih berkisar kepada kepimpinan moral dan pembangunan inklusif berbanding kekuatan suara geopolitik seperti dahulu.
"Dapat dikatakan Malaysia sedang menuju ke arah era penghormatan baharu, bukan dengan gaya konfrontasi, tetapi melalui kerjasama, kemanusiaan, dan pembangunan bersama.
"Ia adalah pendekatan 'soft power' yang relevan dalam era pasca-pandemik dan ketidaktentuan global masa kini," ujar ahli akademik itu kepada Suara Keadilan.
Mengulas mengenai prestasi kepimpinan PM Anwar yang mula dibandingkan dengan kejayaan perdana menteri sebelum ini, terutama PM keempat, Dr Awang Azman berkata, kepimpinan Anwar tidak seharusnya dibandingkan dengan pemimpin yang lebih lama memerintah kerana kejayaan yang dicapai beliau dalam masa dua tahun mentadbir.
"Ini kerana Mahathir (PM keempat) memerintah selama 22 tahun, sudah tentu peluang lebih luas untuk membuktikan keupayaannya.
"Sedangkan Anwar baru beberapa tahun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya lagi.
Tambah Dr Awang, pada dekad 1990-an Malaysia sering dikenali sebagai 'model' negara membangun yang memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur sekali gus menjadi suara lantang dunia Selatan (Global South), dan memainkan peranan penting dalam NAM (Non-Aligned Movement) dan OIC.
Keadaan terkini, kata beliau, Malaysia lebih kepada negara menuju status lebih maju dan menjadi jambatan penghubung blok Timur - Barat serta negara negara negara Arab.