Kepemimpinan Wanita Bukan Sekadar Pelengkap Kuota
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 3 min read

Oleh: Yong Bazilah Abu Bakar
ULASAN: Dalam landskap politik dan kepimpinan semasa, wacana mengenai peranan wanita sering kali tertumpu kepada angka dan peratusan – berapa ramai wanita dalam parlimen, dalam kabinet, atau dalam syarikat tersenarai awam. Namun, di sebalik statistik yang menggembirakan atau mengecewakan itu, persoalan yang lebih mendasar perlu diajukan: apakah wanita benar-benar diberi ruang untuk memimpin, atau hanya diangkat sebagai simbol keterangkuman?
Sejarah membuktikan bahawa wanita telah memainkan peranan kepemimpinan sejak zaman awal peradaban. Tokoh seperti Ratu Balqis, Shajar al-Durr, hingga tokoh kontemporari seperti Jacinda Ardern dan Angela Merkel, menunjukkan bahawa kemampuan memimpin bukanlah isu jantina, tetapi isu kompetensi dan prinsip. Di Malaysia sendiri, tokoh seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membuka jalan buat generasi pemimpin wanita yang lebih muda.
Kini, kita menyaksikan kemunculan pemimpin wanita Malaysia yang berwibawa dan komited dalam memperjuangkan maruah wanita serta memperkasa masyarakat. Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, misalnya, giat memperjuangkan akses pendidikan inklusif dan selamat buat pelajar perempuan serta membina ekosistem sekolah yang bebas gangguan seksual. Nurul Izzah Anwar pula terus konsisten memperjuangkan dasar pembangunan insan dan ekonomi mesra wanita. Fuziah Salleh, berpengalaman dalam memperjuangkan hak pengguna dan pemberdayaan wanita luar bandar. Manakala Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan wanita pertama Malaysia, telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh dasar kesihatan awam yang inklusif dan responsif terhadap keperluan wanita. Hannah Yeoh juga tidak kurang hebatnya dalam perjuangan mengangkat pemimpin wanita, beliau kini menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan sudah pasti ahli sukan wanita mendapat perhatian yang sewajarnya.
Persediaan mental, fizikal untuk memimpin
Soalnya adakah wanita cukup bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memimpin? Inilah persoalan yang sering dibangkitkan dalam masyarakat. Sebenarnya, soalan ini perlu dilihat semula secara adil dan rasional. Dalam banyak keadaan, wanita terbukti lebih tahan tekanan, lebih teliti dalam membuat keputusan, dan mempunyai kecerdasan emosi (emotional intelligence) yang tinggi iaitu satu aset penting dalam kepimpinan moden.

Malah, dalam konteks krisis, seperti semasa pandemik Covid-19, negara-negara yang dipimpin oleh wanita seperti New Zealand dan Taiwan menunjukkan kecekapan luar biasa dalam pengurusan bencana, dengan pendekatan kepemimpinan yang berasaskan empati, komunikasi terbuka dan tindakan pantas.
Dari segi keilmuan dan profesionalisme, statistik menunjukkan bahawa wanita Malaysia melebihi lelaki dalam penyertaan pendidikan tinggi. Laporan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan peratusan kemasukan wanita ke universiti awam mencecah lebih 60% sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Wanita hari ini bukan sahaja profesional dalam bidang seperti undang-undang, perubatan, kejuruteraan dan ekonomi, malah ramai yang menduduki posisi strategik dalam sektor awam dan swasta. Mereka mengurus pasukan, mentadbir bajet, menggubal dasar dan menjadi pembuat keputusan pada tahap tertinggi.
Maka, persoalan sebenar bukan lagi sama ada wanita boleh memimpin, tetapi sama ada masyarakat sedia menerima kepemimpinan wanita secara setara. Ketidaksediaan struktur sosial dan budaya untuk memberi laluan kepada wanita merupakan penghalang utama. Dalam banyak kes, wanita terpaksa bekerja "dua kali lebih keras" untuk membuktikan kemampuan mereka berbanding lelaki, walaupun dengan kelayakan dan pengalaman yang setara. Fenomena "glass ceiling" iaitu halangan tidak nyata yang menyekat kemajuan wanita ke peringkat tertinggi dalam organisasi masih wujud dalam pelbagai bentuk di Malaysia.
Persepsi tidak berasas
Lebih membimbangkan, masih terdapat stereotaip yang mengaitkan kepemimpinan wanita dengan kelemahan, emosi berlebihan atau ketidaktegasan. Persepsi ini bukan sahaja tidak berasas, malah bercanggah dengan dapatan saintifik dan pengalaman global. Dalam sesetengah kes, wanita yang tegas pula dilabel sebagai "keras kepala" atau "sukar dikawal", satu bentuk "double standard" yang jarang dikenakan kepada pemimpin lelaki. Oleh itu, perubahan naratif dan pendidikan kesedaran gender adalah penting agar masyarakat menilai kepimpinan berdasarkan merit, bukan jantina.
Kajian menunjukkan bahawa organisasi yang mempunyai representasi wanita dalam posisi kepimpinan mencatat prestasi lebih baik dari segi pengurusan risiko, etika kerja dan empati sosial (McKinsey & Company, 2020). Gaya kepimpinan wanita yang cenderung lebih inklusif, kolaboratif dan berorientasikan kesejahteraan jangka panjang amat diperlukan dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar ini.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita melangkaui naratif "kuota" semata-mata. Kita perlu membina ekosistem yang menyokong penyertaan dan pertumbuhan wanita dalam kepimpinan secara tulen iaitu melalui dasar yang mesra keluarga, pendidikan kepimpinan yang progresif, serta perubahan budaya organisasi yang tidak meminggirkan suara wanita. Wanita tidak seharusnya diberi peluang kerana mereka wanita, tetapi kerana mereka layak, berdaya saing dan berketerampilan.
Wanita bukan sekadar pelengkap kepada satu kerangka statistik. Mereka adalah pemimpin berwibawa, pembuat dasar yang berwawasan, dan pembina negara yang berintegriti. Melihat mereka sebagai ‘pelengkap’ adalah satu ketidakadilan intelektual yang mesti segera diperbetulkan. Malaysia yang maju dan sejahtera hanya akan terhasil apabila potensi wanita diangkat sepenuhnya sebagai rakan kongsi dalam kepimpinan negara dan masyarakat
Penulis merupakan Pengetua Sekolah Wanita-SWAN dan sedang menyiapkan PhD beliau dalam bidang Kepemimpin Wanita dan Psikologi.elor Bertauliah dan Pengetua Sekolah Wanita (SWAN) Parti Keadilan Rakyat