PMX Bersama Palestin: Dari Yasser Arafat ke Sumud Flotilla Global 2025
- Suara Keadilan

- Oct 10
- 2 min read

Oleh: Mustaffa Kamil Ayub
ULASAN: Isu Palestin bukan sekadar konflik politik atau agama, tetapi tragedi kemanusiaan yang berpanjangan sejak lebih tujuh dekad lalu. Malaysia kekal konsisten membela rakyat Palestin yang tertindas akibat kekejaman rejim Zionis.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), pendirian ini bukan sekadar diteruskan malah diperkukuhkan lagi dengan pendekatan lebih tegas dan berprinsip. Tahun 2025 menyaksikan Malaysia turut menyertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla Global, yang membawa bantuan terus ke Gaza sebagai simbol keberanian dan solidariti sejagat.
Prinsip tegas PMX terhadap nasib Palestin
Prinsip dan pendekatan PMX terhadap Isu Palestin amat jelas. Sejak zaman mudanya, PMX konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas dasar keadilan dan kemanusiaan, juga atas prinsip agama yang kuat.

Daripada zaman kepemimpinan Yasser Arafat hingga kini, pendirian ini dengan jelas diungkapkan. Dalam pelbagai sidang antarabangsa seperti PBB dan OIC, beliau menegaskan bahawa dunia tidak boleh terus membisu terhadap penindasan yang melanggar hak asasi manusia sejagat.
Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh PMX menekankan nilai rahmah, hormat dan kebebasan – selari dengan semangat perjuangan rakyat Palestin yang menuntut hak untuk hidup bebas di tanah air sendiri.
Misi Sumud Flotilla Global 2025
Peranan Malaysia dalam Misi Sumud Flotilla Global 2025 dan penyertaannya membuktikan bahawa sokongan terhadap Palestin bukan hanya pada tahap ucapan, tetapi diterjemahkan melalui tindakan nyata.
Misi ini menghimpunkan aktivis dan sukarelawan antarabangsa bagi menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas terus ke Gaza melalui laut — sekaligus mencabar sekatan haram Israel.
Malaysia melalui NGO seperti MAPIM, ABIM dan MyCARE, dengan sokongan moral kerajaan di bawah PMX, memainkan peranan penting dalam memastikan suara kemanusiaan sampai ke dunia.
Langkah ini mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara berprinsip yang berani mempertahankan keadilan global walaupun berdepan risiko dan tekanan antarabangsa.
Suara nurani dunia Islam
Impak diplomasi dan solidariti rakyat dalam misi Sumud Flotilla Global turut memberi kesan positif dari segi diplomasi antarabangsa. Malaysia kini dikenali sebagai “suara nurani dunia Islam dan Global South” — negara kecil yang lantang membela mereka yang lemah.
Dalam masa yang sama, isu Palestin menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. PMX sering menekankan bahawa sokongan kepada Palestin adalah manifestasi nilai kemanusiaan, bukan sentimen politik sempit.
Kempen boikot Zionis-Israel, derma rakyat, dan doa perdana di seluruh negara menunjukkan bahawa perjuangan ini menjadi milik bersama — bukti bahawa semangat Madani hidup dalam hati rakyat.
Ringkasnya, penyertaan Malaysia dalam Sumud Flotilla Global 2025 menyerlahkan keberanian negara di bawah kepimpinan PMX dalam menegakkan prinsip kemanusiaan sejagat. Ia bukan sekadar misi bantuan, tetapi simbol keteguhan semangat dan maruah dunia Islam.
Perjuangan PMX untuk Palestin mencerminkan wajah Malaysia yang berprinsip, berani dan penuh nilai kemanusiaan. Ia bukan suatu lakonan, apatah lagi ia juga bukan suatu percubaan mencari publisiti murahan.
Selagi bumi Gaza belum bebas, selagi itulah Malaysia akan terus berdiri di sisi Palestin — kerana di sisi kebenaranlah, maruah manusia dijunjung.
Penulis merupakan Presiden Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT)









Comments