Waspada Serangan Siber Pro-Israel Bermotif Politik Terhadap Malaysia
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 3 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Malaysia kini mendapat perhatian dunia apabila Kerajaan Madani secara tegas menyuarakan sokongan ke atas isu keadilan terhadap Palestin dan kritikan terhadap kezaliman Israel. Kelantangan Kerajaan Madani ini mendapat perhatian yang pelbagai, tidak terkecuali pihak yang mencemuh dan cuba memperkecilkan usaha tersebut.
Cemuhan terhadap usaha Kerajaan Madani itu disahkan melalui kenyataan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru baru ini yang melaporkan bahawa selepas Malaysia membuat kenyataan sokongan terhadap Palestin dalam konflik terkini, terdapat purata 3,000 serangan siber sehari terhadap sistem pertahanan negara.
Huru harakan keselamatan, keharmonian
Serangan siber itu dilakukan bertujuan untuk menggodam, mengintip dan meninjau aktiviti pihak berkepentingan di Malaysia. Menggunakan maklumat yang diperolehi maka, penggodam tersebut boleh mencipta naratif buruk bagi menghuru-harakan keselamatan dan keharmonian Malaysia.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan beliau tidak menyatakan siapakah pihak terlibat yang cuba memusnahkan Malaysia menggunakan serangan siber, namun secara nyata serangan ini giat dilakukan selepas Kerajaan Madani secara aktif cuba menyatukan masyarakat dunia untuk membantu dan melahirkan simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Pendedahan yang dilakukan oleh bekas wartawan dan pempengaruh, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA mengesahkan kewujudan gangguan siber oleh Briged 8200 (pasukan siber Israel Defence Forces) di Malaysia. Laporan tersebut menyatakan bahawa aktiviti Briged 8200 di Malaysia dilaksanakan oleh oleh ejen-ejen yang telah direkrut, matlamat utama mereka kini adalah untuk mengganggu sokongan oleh rakyat Malaysia terhadap konflik yang menimpa Palestin.
Laporan tersebut tidak mengejutkan kerana PDRM telah dilaporkan menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru pada tahun 2024. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tidak menolak motif individu tersebut datang ke Malaysia adalah terkait dengan isu sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin. PDRM juga berjaya membongkar jaringan perisikan Israel (Mossad) di Malaysia apabila dua rakyat Malaysia dipercayai direkrut sebagai ejen Mossad telah ditahan kerana dikatakan terbabit dalam kes penculikan warga Palestin.
Sehingga kini masih tiada sebarang laporan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang menunjukkan secara jelas bahawa Israel telah mula melakukan kekacauan di Malaysia, terutama melibatkan serangan siber. Namun kewujudan ejen-ejen Israel yang direkrut di Malaysia untuk menjalan beberapa misi secara nyata telah dapat didedahkan dan dihalang oleh PDRM.
Cuba lemah sokongan Kerajaan Madani
Rakyat Malaysia kini perlu lebih berhati-hati menerima sebarang maklumat daripada media sosial, serangan siber yang dilakukan oleh Briged 8200 bersama ejen-ejen yang telah direkrut ini sedang cuba untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap usaha Kerajaan Madani memperjuangkan keadilan kepada rakyat Palestin.
Justeru dalang-dalang keji tersebut mula menghidangkan naratif bahawa kesungguhan Kerajaan Madani membebaskan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla sebagai satu lakonan. Kumpulan tersebut juga membangkitkan naratif bahawa Kerajaan Madani tidak ikhlas memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin kerana secara terbuka menerima kehadiran Presiden Amerika, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Kerajaan Madani yang diterajui oleh YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim (PMX) digambarkan mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan Israel, menggunakan naratif tersebut maka Briged 8200 mampu untuk melemahkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Madani.
Lumpuh atau tumbangnya Kerajaan Madani bermakna kejayaan besar bagi Israel dalam mengurangkan sekutu dan pembantu rakyat Palestin. Rakyat Malaysia bebas untuk berfikir dan bersuara terhadap dasar Kerajaan Madani, namun dalam isu keadilan rakyat Palestin tidak seharusnya sokongan kita berpecah-belah. Kita harus sedar bahawa serangan siber yang dilakukan oleh Briged 8200 adalah nyata, kita tidak seharusnya jatuh dalam perangkap musuh.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Keadilan Selangor Darul Ehsan