Misi Flotila Berjaya Cetus Keprihatinan Antarabangsa Bela Palestin
- Suara Keadilan

- Oct 18
- 2 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Walaupun ditahan oleh komando khas Israel, misi bantuan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF) sebenarnya telah mencapai kejayaan.
Kejayaan paling bermakna ialah memecahkan sikap berdiam diri (break the silence) dunia terhadap kekejaman Zionis.
Gerakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) terhadap bangsa Palestin, khususnya di Gaza mendapat bantahan seluruh dunia, kecuali sekutunya Amerika Syarikat (AS).
GSF adalah lambang keberanian dan simbol kebangkitan melawan kezaliman dan sikap tidak berperikemanusiaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Zionis yang didukung oleh AS, khususnya Presiden Donald Trump.
Seluruh dunia patut memboikot produk Israel dan AS, memutuskan hubungan diplomatik dengan regim Zionis yang bersifat kebinatangan itu.
Pulaukan Israel sama sekali
Dunia sepatutnya mengasingkan diri daripada Israel dan sekutunya semaksimum mungkin.
Negara-negara anggota BRICS, EU, NAM, OIC dan ASEAN sepatutnya bersatu dan berani mengambil tindakan pengasingan hubungan dagang terhadap Israel dan konco-konconya supaya mereka menjadi 'kera sumbang' dan terasing daripada negara-negara yang mahukan kedamaian dan keharmonian hidup.
Kelantangan dan keberanian Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan terhadap kezaliman Israel patut disanjung.

Kebijaksanaan dan keupayaan beliau mengambil pelbagai pendekatan - adakalanya lantang bersuara dan adakalanya tenang berhujah dan berunding - adalah kemahiran (skills) yang jarang (rare) ada pada mana-mana pemimpin dunia.
Sebab itulah, tidak sampai tiga tahun di bawah pimpinannya, Malaysia kembali menjadi negara yang dihormati oleh kawan dan lawan.
Bahkan, selaku Pengerusi ASEAN, beliau menjadi antara pemimpin yang terkehadapan dalam menangani krisis kemanusiaan, ekonomi dan perubahan cuaca (climate change) yang sedang melanda dunia pasca-normal kini.
Skil diplomatik dikagumi
Peranan beliau mendamaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja menjadi penanda aras kepimpinan berhikmah (wise leadership) yang ada pada sosok yang penuh pengalaman ini.
Hubungan antarabangsa dan diplomatik serta penghormatan dunia kepada beliau semakin menyerlah.
Kecekapan dan kemampuan beliau menggunakan hubungan diplomatik dengan beberapa negara bagi membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel amat membanggakan.
Kejayaan yang dicapai dalam tempoh yang singkat ini membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin yang berwibawa dan disegani dunia, termasuk oleh Israel sendiri.
Trump wajar dijemput, ambil sikap berhati hati
Walaupun jemputan ASEAN kepada Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pada 26-27 Mei 2025 di Kuala Lumpur dikecam hebat oleh pembangkang, namun kehadiran Trump amat penting, khususnya dalam mengukuhkan hubungan strategik ASEAN-China-AS dalam bidang ekonomi dan geopolitik rantau ini.
Walaupun Trump menyebelahi Israel, tetapi pendiriannya untuk membawa Israel berunding dalam isu Palestin amat wajar diterima, walaupun dengan sikap berhati-hati.
ASEAN yang mempunyai 600 juta penduduk tentulah tidak dipandang ringan oleh Trump. Apalagi Malaysia mempunyai hubungan yang dengan China dan Rusia yang didiami oleh 1.7 bilion penduduk.
Malaysia mungkin boleh berperanan bagi menyuarakan pandangan yang mewakili kepentingan Palestin dalam pertemuan dengan Presiden AS itu nanti.
Sudah tentulah kesempatan ini akan diambil sepenuhnya dengan penuh kebijaksanaan oleh PMX, termasuk dalam membela rakyat Palestin.
Dan saya percaya beliau mampu melakukannya.









Comments