top of page

“Kenapa DAP Johor jahat, DAP Perak, Pahang baik?”

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) mempersoalkan naratif yang mendakwa DAP Johor sebagai “jahat” sedangkan kerjasama politik membabitkan DAP di negeri lain tidak dipersoalkan.


Beliau berkata, serangan terhadap DAP yang dimainkan pihak tertentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN Johor) adalah sebahagian daripada usaha mencipta ketakutan dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi Melayu, dengan menggambarkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) sebagai sesuatu yang merugikan.


Menurutnya, persoalan utama yang perlu dijawab ialah mengapa pendirian terhadap DAP berubah mengikut negeri dan keadaan politik semasa.


"Kenapa DAP di Perak dan Pahang baik? Kerana tanpa sokongan DAP, UMNO tidak boleh jadi Menteri Besar di Perak dan Pahang," katanya ketika berucap di ceramah "Yok Merahkan Johor, Undi Harapan" di Puteri Wangsa malam tadi.


Mohamad Sabu turut membangkitkan contoh Melaka dengan menyatakan kerjasama politik antara UMNO dan DAP di negeri itu tidak pula dijadikan isu besar seperti yang berlaku di Johor.


Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan wujud percanggahan dalam naratif yang dibawa berhubung kerjasama antara parti-parti politik.


"Di Melaka, Menteri Besarnya UMNO, ada sokongan DAP Melaka. DAP Melaka baik. Kenapa di Johor jadi isu?" katanya.

Mohamad Sabu berkata pendekatan memainkan sentimen perkauman dan ketakutan terhadap DAP digunakan apabila pihak lawan gagal berhujah mengenai isu pembangunan, kestabilan serta integriti.


Beliau mendakwa naratif seperti “Cina akan ambil alih Malaysia” adalah usaha mencipta kebimbangan dalam kalangan rakyat sedangkan isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah ekonomi dan kebajikan rakyat.


"Apabila tidak boleh bawa isu pembangunan, kestabilan dan integriti, maka diciptakan isu ketakutan. Tetapi rakyat Johor bukan rakyat sebarangan," katanya.


Mohamad Sabu yang pernah bersama Pas selama 37 tahun menjelaskan pendirian Pas berubah mengikut keadaan politik semasa.


Katanya sebelum ini Pas menolak kerjasama dengan UMNO, kemudian bekerjasama dengan parti itu, dan terbaru mengambil pendirian berbeza.


"Jangan ikut fatwa pemimpin kerana ia berubah setiap musim. Hari ini kata begini, esok boleh berubah," katanya.


Beliau turut mempertahankan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan pelbagai parti politik, sambil menyifatkan kerjasama itu sebagai sesuatu yang berjaya bertahan hampir empat tahun.


Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan pandangan antara parti dalam kerajaan, fokus utama adalah memastikan kestabilan pentadbiran dan menjaga kepentingan rakyat.


"Kita siang bersama, malam berbeza. Kalau orang dah berkahwin, keadaan sebaliknya," kata Mohamad Sabu mengundang hilai tawa hadirin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page