top of page

Kenaikan kuota BUDI95 legakan rakyat, perkasa anak muda – David Cheong

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Keputusan kerajaan menaikkan semula kuota asas subsidi petrol RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan disifatkan sebagai langkah yang melegakan beban rakyat, khususnya golongan yang bergantung kepada kenderaan untuk urusan harian.


Ahli Dewan Negeri Kajang, David Cheong berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 itu membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mendengar suara rakyat dan menangani tekanan kos sara hidup.


"Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, berkuat kuasa 1 September 2026.


"Langkah ini melibatkan peningkatan sebanyak 100 liter dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna BUDI95 yang layak," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, keputusan itu memberikan kelegaan kepada rakyat yang menggunakan kenderaan untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan dan menguruskan keperluan harian.


Katanya, manfaat berkenaan turut dirasai golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, pelajar, usahawan muda serta pekerja ekonomi gig.

David Cheong
David Cheong

"Kos mobiliti yang lebih terkawal membolehkan mereka menyalurkan perbelanjaan kepada pendidikan, peningkatan kemahiran, keluarga dan usaha membina masa depan," katanya.


Dalam pada itu, David turut mengalu-alukan pelaksanaan Program AI Untuk Rakyat yang menawarkan langganan percuma perisian kecerdasan buatan (AI) selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul latihan ditetapkan.


"Program yang dibuka mulai 31 Ogos 2026 itu dijangka memanfaatkan sehingga 100,000 belia pada peringkat awal.


"Gabungan bantuan kos sara hidup dan peluang digital ini menunjukkan bahawa kerajaan bukan sahaja menangani keperluan rakyat pada hari ini, malah mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi ekonomi masa hadapan," katanya.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor berkata, BUDI95 juga mencerminkan semangat keadilan dan kebersamaan kerana subsidi berkenaan dinikmati warganegara Malaysia yang layak tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.


"Dasar yang adil dan menyentuh kehidupan seharian rakyat mampu meningkatkan keyakinan serta menyatukan masyarakat sebagai satu keluarga besar Malaysia.


"Sempena Hari Kebangsaan, kita harus memahami bahawa perpaduan turut dibina melalui dasar yang memastikan tiada golongan tercicir dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama," katanya.


David pada masa sama menyeru rakyat menggunakan kemudahan subsidi itu secara bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakannya.


"Setiap penjimatan daripada usaha mengurangkan ketirisan boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan negara.


"Terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana terus mendengar suara rakyat serta mengambil tindakan yang responsif demi menjaga kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page