top of page

Kenaikan gaji minima lebih RM1,700 perlu dipertimbangkan - Onn

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
6 hours ago
1 min read

Kerajaan MADANI disaran mempertimbangkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada kadar baharu yang lebih munasabah, selaras dengan peningkatan kos sara hidup semasa.


Cadangan itu disuarakan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar (gambar) menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober depan.


Onn menyifatkan, langkah itu amat penting khususnya bagi membantu golongan pekerja berpendapatan rendah menampung keperluan makanan, perumahan, pengangkutan, persekolahan anak-anak serta perbelanjaan asas keluarga.


"Pada masa yang sama, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan majikan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana, agar kenaikan gaji dapat dilaksanakan secara seimbang tanpa membebankan perniagaan.


"Saya percaya sekiranya perkara ini diumumkan dalam Belanjawan 2027, ia merupakan satu lagi langkah berani Kerajaan MADANI dalam membela kebajikan rakyat, khususnya golongan pekerja bawahan.


"Apabila ekonomi negara berkembang, sudah sewajarnya pekerja yang bekerja keras dan menyumbang kepada pembangunan negara turut menikmati peningkatan pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.


Kerajaan menggariskan 10 bidang tumpuan utama Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Parlimen dengan kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap dasar, ikhtiar dan peruntukan yang bakal dipertimbangkan.


Menurut Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, Belanjawan MADANI kelima itu akan terus berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI.


Antaranya adalah Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat dan Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page