top of page

Kemungkinan PRU mengejut, utamakan kesatuan PH

Updated: Jun 29, 2020




Oleh: Redzuan Shamsudin


Kejutan Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir mencadangkan calon ketiga sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia merumitkan kemelut politik negara. Idea Mahathir mengemukakan nama Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai PM dari Malaysia Timur selepas kegagalan rundingan antara beliau dan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat oleh rakyat sebagai anti-klimaks.


Shafie bukan sahaja tidak berkarismatik dalam politik peringkat nasional, malah beliau dilihat tidak mempunyai idea penyelesaian ekonomi pasca pandemik Covid 19 yang menuntut pelbagai polisi baharu bagi menarik pelaburan asing ke negara ini.


PH jadi mangsa


Namun ‘mangsa’ utama bagi percaturan ini adalah keutuhan Pakatan Harapan (PH). Sama ada Anwar dicalonkan sebagai PM atau Mahathir mahu merebut kerusi itu buat kali ketiga, perpaduan PH dijadikan pertaruhan.


Apabila Tun merajuk setelah tiada keputusan untuk opsyen 2, beliau sebagai PM ke 9 dan Anwar Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Langkawi itu memutuskan hubungan dengan KEADILAN. Tidak cukup dengan itu beliau bertindak sebagai batu api, hanya meneruskan hubungan bersama DAP serta Amanah. Bermakna sekiranya Mahathir cukup jumlah kerusi maka DAP dan Amanah akan masuk kerajaan manakala KEADILAN kekal sebagai pembangkang.


Dasar pecah dan perintah ini mengundang kemarahan penyokong PH. Tun bersama PH pada 2017 tetapi akhirnya menentukan dengan siapakah DAP dan Amanah patut berhubung. Sedangkan ketiga-tiga parti dalam PH telah berjuang sejak 20 tahun lalu dan ironinya kesatuan mereka diperoleh atas kepentingan bersama melawan kezaliman Mahathir pada 1998.


Penjelasan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu baru-baru ini tentang perlunya perbincangan lebih lanjut opsyen 2 telah menyebabkan kedua-dua pemimpin itu, termasuk Khalid Samad dan Anthony Loke dimarahi penyokong. Apatah lagi kali ini, Tun terang-terangan mahu DAP dan Amanah meninggalkan KEADILAN. Akibatnya, media sosial yang banyak membincangkang isu-isu PH bertukar menjadi medan serang menyerang. Perpaduan yang dipupuk selama 20 tahun seolah-olah akan berkecai dalam sekelip mata.


Tidak cukup dengan kecamukan itu, muncul pula teori entah dari mana kononnya Tun akan menggunakan DAP, Amanah, puak Azmin, GPS, Warisan serta beberapa Ahli Parlimen Umno bagi membentuk kerajaan baharu. Tidak diketahui apakah teori ini sengaja direka oleh tentera siber Umno bagi menyemarakkan api pertelingkahan dalaman PH, yang pasti perpaduan gabungan itu kini memasuki zon merah dan perlu rawatan segera agar tidak hancur sebagaimana keluarnya Pas dari Pakatan Rakyat pada 2015 lalu.


Menambahkan kecelaruan, terdapat pula berita KEADILAN didatangi agen-agen dari pelbagai parti, termasuk parti pemerintah untuk menawarkan pembentukan gabungan baharu. Malah ada pemimpin KEADILAN mengakui Anwar dihubungi Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin.


Maka teori pembentukan kerajaan bersama parti pemerintah itu pun tular di internet. Formulanya lebih rumit berbanding keanggotaan kerajaan Mahathir. Ditularkan kerajaan baharu itu mengenepikan Umno dan Pas, juga puak Azmin Ali yang khianat. Namun turut memecahkan DAP dan Amanah. Teori seperti ini mungkin indah didengar namun sekiranya diyakini akan menambah perasaan curiga mencurigai dalam kalangan penyokong PH.


Dalam erti kata mudah, penubuhan kerajaan baharu menuntut semua parti komponen PH berpecah. KEADILAN berpecah akibat pengkhianatan. Manakala DAP dan Amanah perlu melalui pengalaman sama memilih puak mana yang harus disokong. Dari segi kesatuan PH hal ini sangat merbahaya. PH dalam keadaan sekarang tidak boleh masuk mana-mana pilihan raya.


Sabotaj pilihan raya


Contoh mudah adalah ketidakpuasan hati beberapa pemimpin Umno Johor yang tidak tercalon dalam pilihan raya umum (PRU) lalu menyebabkan jentera BN tidak bergerak lancar. Apabila kekurangan tersebut dicampur isu skandal mega 1MDB yang membelit Najib maka arus yang terhasil adalah kehilangan undi maksimum sehingga BN Johor tumbang. Jika dikira kekuatan BN dari segi jumlah ahli, adalah sangat mustahil PH boleh menang sehingga 2/3 kerusi DUN.


Perkara sama boleh menimpa PH andainya PRU diadakan pada tahun ini. Bagaimanapun teori inilah yang nampaknya semakin menuju kenyataan.


Teori akan berlaku PRU pada sekitar Ogos atau November 2020 tidak boleh diambil mudah. Indikatornya boleh dilihat dengan kesungguhan pemimpin Umno mendesak Muhyiddin membubarkan Parlimen. Dalam bulan Jun sahaja lebih 5 pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan meminta pembubaran. Terdapat suara dari Selatan tanah air, dari Pahang diwakili Najib Razak sehinggalah yang terbaharu Mohamad Hasan. Gesaan Mohamad adalah yang paling perlu diberi pertimbangan. Beliau dalam kedudukan timbalan presiden, sekiranya beliau bersuara bermakna Umno pastinya telah mendapat maklumat dari war room bahawa parti itu dan sekutunya Pas bersedia masuk PRU dan menang.


Oleh itu, pimpinan Umno diarah melakukan strategi aneh, mereka berteriak ke seluruh dunia mengatakan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang disertai bakal runtuh ketika sebahagian daripada mereka merupakan menteri dalam gabungah berkenaan. Seruan itu bertujuan untuk mengumpul persetujuan rakyat betapa tidak membazirnya PRU mengejut demi membentuk kerajaan yang stabil.


Kemenangan atas kelemahan BN, Pas


Dimaklumi kemenangan PH dalam PRU 14 lalu dibantu pertandingan 3 penjuru antara BN, PH dan Pas. Undi popular yang diperolehi PH dan sekutunya sekitar 49%. Sekiranya parti-parti lawan bergabung maka PH sukar untuk menang. Dan itulah yang dilakukan oleh Umno dan Pas yang membentuk Muafakat Nasional (MN). Dia atas kertas undi MN jika disatukan, menyebabkan PH kehilangan 30 kerusi. Dalam erti kata mudah kerusi PH akan tinggal sekitar 70.


Dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hasan bahawa usul Undi Percaya akan dibentang terhadap Muhyiddin pada sesi Parlimen Julai ini maka teori MN mampu menang PRU 15 dianggap lengkap. Pemimpin Umno berusaha mendapatkan persetujuan rakyat dan pemimpin Pas pula membuka jalan ke arah itu.


Adakah usul Undi Percaya benar-benar mahu memberi keabsahan kepada kerajaan Muhyiddin? Jawapannya boleh diteliti daripada ketakutan Muhyiddin sendiri pada Mei lalu yang enggan melanjutkan sidang parlimen lebih daripada setengah hari. Beliau amat khuatir sebarang usul perbahasan yang memerlukan undian, kerajaannya kalah.


Jadi, adakah usul Undi Percaya dibentangkan Pas akan mendapat sokongan majoriti? Kemungkinan Muhyiddin akan kalah adalah besar. Sekiranya pemimpin Umno mahu parlimen dibubarkan, maka mereka hanya perlu berkecuali ketika undian dan Muhyiddin tersungkur. Dalam adat kebiasaan, Muhyiddin boleh menghadap Agong dan meminta tempoh untuk mencari sekutu baharu. Ketika ini peluang terbuka kepada mana-mana parti mengambilalih kedudukan Umno. Namun harus diingat Agong telah pun disulitkan dengan pergolakan politik pada Februari lalu. Adakah Agong akan memberi peluang kedua? Atau baginda akan memilih penyelesaian dengan mengembalikan mandat kepada rakyat?


Pilihan kedua kelihatannya lebih mudah. Apatah lagi sekiranya Agong berfikiran kerajaan yang akan dibentuk kemudiannya memiliki majoriti tipis sebagaimana sebelum ini. Dalam hal ini, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Agong tidak perlu mendapatkan nasihat PM (yang telah tumbang) sebelum membubarkan Parlimen.


Persediaan PRU 15


Sekiranya Parlimen dibubarkan maka ketika itulah perlunya kesatuan PH. Persoalannya adakah PH bersedia menghadapi PRU? Dengan perpecahan pendapat yang berlaku sekarang PH amat terdedah kepada sabotaj dalam kalangan penyokong sendiri. Tidak banyak kawasan selamat yang tinggal sekiranya penyokong DAP boikot undi calon KEADILAN atau KEADILAN boikot undi Amanah. Akhirnya peluang untuk menang dan melantik Anwar sebagai PM berakhir dengan kekalahan memalukan.


Sebelum hal itu terjadi maka sebaik-baiknya perpecahan pendapat didamaikan oleh kepimpinan PH. Konsensus harus diambil, bahawa tidak ada pembentukan kerajaan baharu tanpa melibatkan kesemua komponen PH atau dengan memecahkan parti-parti komponen.


Dengan cara ini penyokong boleh didamai dan diyakinkan. Sekianya PH menghadapi PRU maka tidak ada sabotaj. Menang atau kalah ditentukan oleh rakyat. Dan hal itu adalah sebaik-baiknya berbanding kekalahan disebabkan persengketaan sesama sendiri.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page