top of page

Kempen PH fokus beri kefahaman kepada pengundi - Dr Zaliha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 28
  • 1 min read

Kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini akan memberi penekanan kepada usaha menjelaskan pelbagai isu yang dijadikan bahan tohmahan terhadap Kerajaan MADANI, khususnya berkaitan bekalan dan harga minyak.


Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kempen kali ini akan memfokuskan usaha memberi kefahaman kepada pengundi bahawa isu bekalan tenaga dan kenaikan harga minyak merupakan cabaran global yang turut memberi kesan kepada banyak negara, bukannya berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan.


"Jadi, kita akan meningkatkan usaha menyantuni rakyat dan memberi penjelasan serta kefahaman kepada mereka bahawa isu itu bersifat global.


"Ada usaha menyerang KEADILAN dan PH, termasuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu minyak serta bekalan tenaga.


"Isu itu bukan berpunca daripada kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha bersungguh-sungguh termasuk ke Rusia dan Turkmenistan bagi memastikan bekalan stabil dalam pasaran," katanya dipetik laporan media tempatan.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN Johor pada Sabtu.


Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, sambutan rakyat terhadap calon-calon PH setakat ini amat memberangsangkan dan memberi keyakinan kepada parti untuk menghadapi saingan sepanjang tempoh berkempen.


Namun dalam masa sama, pihaknya turut mengambil pendekatan memperkukuhkan kempen dengan meletakkan pimpinan utama di setiap kawasan yang ditandingi, selain melaksanakan pendekatan 'negeri angkat' bagi membantu gerak kerja kempen di setiap DUN.


Mengulas penyertaan beberapa bekas ahli KEADILAN yang bertanding atas tiket Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), beliau menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan sokongan akar umbi terhadap calon-calon Pakatan Harapan.


Tumpuan parti ketika ini adalah memperkukuhkan gerak kerja kempen, menyantuni seramai mungkin pengundi dan memastikan mesej serta dasar kerajaan dapat difahami dengan jelas oleh rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page